Khamis, 19 Jun 2014

Khamis, Jun 19, 2014
Edika Yusof Nazar Botak Selagi Isteri Belum Sembuh | Sudah lama tak kedenganran nama model dan pelakon Edika Yusof, 45. Satu ketika dulu, kisah ketampanannya sering menjadi topik dan gosip paling diingati mengenai pelakon kacak ini apabila dirinya acap kali dikaitkan sebagai romeo dan ‘lelaki simpanan’.

Bukan mahu mengungkit sejarah silam yang belum pasti kesahihannya, sebaliknya pertemuan dengan bintang filem XX-Ray, Pelumba Malam, Maria Mariana, Driving School, Father dan Awas itu pada Festival Fesyen Islam (IFF) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) , Kuala Lumpur, baru-baru ini menyangkal satu persepsi yang sudah lama tertanam dek fikiran masyarakat.

Edika Yusof Nazar Botak Selagi Isteri Belum Sembuh

Ramai yang tidak tahu, Edika sebenarnya adalah seorang bapa mithali dan suami yang setia. Buktinya, sejak lapan tahun lalu dialah yang mengambil alih rutin seorang isteri apabila isterinya, Norhidayah Yusri, 34, terpaksa berkerusi roda akibat lumpuh selepas melahirkan anak bongsu mereka, Fareena Nurulhaq, 8.

“Norhidayah lumpuh dari bahagian badan ke bawah selepas melahirkan anak kedua kami. Disebabkan itu dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak dan sayalah yang menjaganya selama ini.

“Pada mulanya memang agak sukar. Maklumlah, hendak menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga mencari rezeki dan dalam masa sama menguruskan anak, tetapi saya reda dengan keadaan ini dan amat bersyukur dikurniakan anak yang begitu memahami.

“Alhamdulillah, setakat ini saya mampu menguruskan keluarga dengan baik tanpa perlu mengambil pembantu rumah. Anak sudah besar dan pandai membantu ibu mereka. Jika saya keluar bekerja, merekalah yang bantu menjaga ibu mereka,” katanya.

Edika berkata, walaupun berkeadaan begitu, isterinya masih berupaya melakukan beberapa pekerjaan dengan berniaga di IFF tempoh hari.

“Walau bagaimanapun, saya tidak pernah henti berdoa agar isteri saya kembali pulih seperti sedia kala. Saya juga bernazar botakkan kepala sejak lapan tahun lalu dan tidak akan menyimpan rambut selagi isteri saya tidak sembuh,” katanya yang pernah disenaraikan sebagai aktor kacak sekitar era 90-an.

Hasil perkongsian hidupnya dengan Norhidayah sejak 10 tahun lalu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Fardeen Nurulhaq, 9, dan Fareena Nurulhaq, 8, serta seorang anak angkat Nazirul Afiq yang kini berusia 14 tahun.

Pada pertunjukan IFF, Edika yang masih segak dipilih sebagai ‘muse’ bagi memperagakan salah satu jenama terkenal khusus untuk lelaki Muslim dan dia mengaku sangat gembira dapat berada di pentas peragaan.

“Ini adalah ‘catwalk’ pertama yang saya lakukan selepas lebih 20 tahun meninggalkannya. Terima kasih kepada penganjur kerana dengan peluang ini dapat juga saya lepaskan gian lama.

“Sebenarnya, pembabitan saya untuk acara peragaan ini dibuat saat akhir. Mulanya saya hanya terbabit dalam kerja grafik dan percetakan untuk IFF saja, tetapi apabila sahabat saya meminta saya ‘catwalk’ jadi saya pun ambil peluang itu memandangkan sudah lama juga tidak berbuat demikian.

“Tidak dinafikan sesekali rasa rindu bertandang. Malah, saya memang berhasrat untuk kembali bergiat aktif dalam lakonan. Kali terakhir saya membintangi filem 15 tahun lalu iaitu Father yang menyusul selepas filem Maria Mariana,” katanya.

Menurutnya, dia juga sudah kembali berlakon dalam telemovie Permata Hatiku arahan Feroz Kader dengan membawakan watak seorang peguam. Telemovie itu mengisahkan konflik anak tidak sah taraf.

Edika berkata, dia memang berhasrat mahu aktif semula dalam bidang lakonan, namun mengharapkan watak yang diberikan bersesuaian dengan pengalaman, usia dan statusnya sekarang.

“Saya sudah lama simpan hasrat untuk berlakon semula, tetapi kalau boleh watak yang diberikan biarlah mencabar dan bukannya watak anak orang kaya dan lelaki mata keranjang.

“Saya sudah bosan melakonkan karakter seperti itu yang sering disogok kepada saya zaman muda dulu. Saya mahukan watak yang orang boleh hormati kerjaya saya sebagai pelakon apatah lagi pada usia sebegini,” katanya.

sumber
http://www.hmetro.com.my/articles/Edikabernazaristerisembuh/Article?hm


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.