Ahad, 14 April 2013

Ahad, April 14, 2013

Keadaan Terkini Wan Zack Dan Nazirul Naim di Jepun

Keadaan Terkini Wan Zack Dan Nazirul Naim di Jepun | Bila berada jauh dirantau, pelbagai perkara pasti terlintas diingatan. Jika selama ini, perkara kecil tidak dianggap penting segalanya pasti berubah dengan suasana sekeliling yang jauh berbeza. Begitulah apa yang dialami oleh dua pemain bolasepak negara Wan Zack Haikal dan Nazirul Naim ketika berada di Jepun bersama kelab FC Ryuku.

Rasa rindu dengan keluarga di Malaysia sememangnya dirasai Wan Zack Haikal Wan Noor dan Nazirul Naim Che Hashim walaupun mereka hanya baru lebih dua minggu menjalani kehidupan di Okinawa, Jepun sebagai pemain kelab FC Ryukyu.

Selain cabaran di atas padang, Wan Zack Haikal, 22, dan Nazirul Naim, 19, sedar berjauhan dengan keluarga di bumi asing itu antara cabaran besar perlu mereka hadapi.

Menurut Wan Zack yang menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab Divisyen Tiga itu hujung bulan lalu, dia teruja dengan cabaran baru dihadapinya biarpun berat badannya kini susut tiga kilogram.

“Memang terasa rindu dengan Malaysia sebab kita sudah tinggal lama di sana tapi bagi saya dalam masa lebih dua minggu ini saya rasa selesa di sini. Kalau rindu dengan keluarga saya akan berhubung dengan mereka,” kata pemain yang pernah menjalani ujian pemilihan dengan FC Ryukyu selama dua minggu Julai tahun lalu.

Selain berhubung dengan keluarga menerusi telefon atau laman sosial seperti twitter atau skype, memasak adalah cara Wan Zack menghilangkan rasa rindu itu.

“Di sini kami selalu memasak kerana susah juga nak cari makanan halal di luar. Kami akan bergilir-gilir memasak, kalau pagi kami selalu buat cucur udang.

“Berat badan saya turun tiga kilogram berbanding 68 kilogram sebelum ini tapi bagi saya itu lebih baik kerana saya berasa lebih ringan dan laju apabila berlari,” katanya yang tinggal bersama dengan Nazirul Naim di sebuah apartment disediakan kelab itu.

Sementara itu bagi Nazirul Naim, faktor pemakanan bukan masalah besar buat mereka di sana setakat ini.

“Memang rindu dengan masakan di Malaysia tapi keluarga ada hantar bekalan makanan dan memang kami selalu masak sendiri.

“Ikan, sayur semua kami beli di kedai. Kalau ikan, kami akan masak pedas atau masak kicap. Kami akan bergilir-gilir memasak, tengok siapa yang tak penat, kalau masing-masing penat kami akan makan di luar saja,” kata pemain pertahanan kiri itu.

Menurut Nazirul Naim yang mengikat kontrak setahun dengam FC Ryukyu, jadual mereka agak padat dengan latihan dan perlawanan setiap minggu hingga membataskan masa untuk keluar menikmati kawasan sekitar Okinawa yang terkenal sebagai pulau peranginan di Jepun.

“Setakat ini kami hanya duduk di rumah jika ada masa lapang lagipun kami belum ada pengangkutan sendiri. Kami perlu ambil lesen di sini dulu baru pihak kelab akan beri kami kereta.” Sementara itu ketika ditanya mengenai sejauh manakah mereka mampu bertahan menjalani cabaran hidup sebagai pemain bola sepak di sana, Wan Zack Haikal menegaskan akan cuba mengubah persepsi buruk peminat bola sepak tanah air terhadap pemain negara.

“Itu persepsi orang, saya tidak boleh buat apa-apa, saya cuma boleh buktikan mereka hanya bercakap kosong. Saya akan buktikan mampu mencipta sesuatu di sini.” Sebelum ini pemain tempatan seperti dilanda sindrom tidak mampu bertahan lama di luar negara dengan kes terbaru membabitkan pemain muda Muhammad Faiz Nazmi Mansor yang menamatkan kontrak awal bersama SC Beira-Mar dan Ahmad Fakri Saarani dari Atletico SC di Portugal.




sumber
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013041323204720130413232047/MA/Article


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.