Khamis, 18 April 2013

Khamis, April 18, 2013

Pelajar Buli di Miri Telah di Kenakan Tindakan

Pelajar Buli di Miri Telah di Kenakan Tindakan | Tindakan sewajarnya telah pun dikenakan terhadap beberapa pelajar kaki buli yang juga ‘pelakon’ utama dalam rakaman video yang tersebar di YouTube membabitkan sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di Miri baru-baru ini.

Jurucakap Jabatan Pelajaran Daerah Miri ketika mengesahkan perkara itu berkata, kejadian itu membabitkan pelajar sebuah sekolah menengah vokasional di sini dan tindakan sudah diambil pihak pengurusannya.

Katanya, beberapa pegawai dari pejabat Pelajaran Daerah Miri menemui pengurusan sekolah berkenaan apabila beberapa pelajar yang dipercayai terbabit dalam insiden itu sudah diambil tindakan sewajarnya termasuk dibuang sekolah.

“Bagaimanapun, perkara ini dalam siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar dan kes dirujuk ke Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, pihaknya mendapatkan maklumat mengenai kes berkenaan daripada pengurusan sekolah terbabit.

Katanya, hasil maklumat dan siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 20 Mac lalu dan hasil pertemuan mangsa dengan kumpulan pelajar terbabit yang turut disertai ibu bapa masing-masing diadakan di Balai Polis Pusat Miri sebelum ini.

“Dalam pertemuan itu, ibu bapa mangsa bersetuju menyelesaikan perkara itu tanpa membabitkan pihak polis.

“Kes dianggap selesai dan tindakan disiplin sudah dikenakan terhadap pelajar terbabit oleh pihak pengurusan sekolah,” katanya sambil menegaskan tiada laporan dibuat mengenai kes itu oleh mangsa atau keluarganya.

Harian Metro semalam, melaporkan rakaman keganasan sekumpulan kaki buli membabitkan pelajar sebuah sekolah menengah membelasah seorang pelajar lain yang didakwa berlaku di bandar raya.

Perbuatan melampau batas itu dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit dan dimuat naik di laman sosial Facebook sebelum tersebar luas di YouTube sejak beberapa hari lalu.

Rakaman selama 1 minit 40 saat itu memaparkan aksi kejam sekumpulan pelajar menumbuk muka mangsa, selain berulang kali ditampar dan ditendang dalam bilik asrama sekolah terbabit.








Artikel Menarik




sumber
http://www.hmetro.com.my/articles/2013041807492620130418074926/Article


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.