Selasa, 23 April 2013

Selasa, April 23, 2013

Tips Kesihatan - Kebaikan Dan Khasiat Kacang Soya Hitam

Tips Kesihatan - Kebaikan Dan Khasiat Kacang Soya Hitam | Keenakan minuman kacang soya kuning sememangnya telah dan lebih dikenali ramai, kini sumber kacang soya hitam juga tidak harus dipandang ringan.

Sejarah, Khasiat dan Kebaikan Kacang Soya Hitam

Kacang soya hitam pertama kali ditemui di China sejak berabad lalu dan kini ia menjadi di antara makanan rutin di Malaysia.

Menurut pakar pemakanan, Indra Balaratnam, kacang soya hitam adalah sejenis kekacang yang tergolong dalam kumpulan sama dengan kacang soya kuning yang biasa didapati dalam minuman.

“Kacang soya hitam sememangnya padat dengan nutrisi yang diperlukan dalam kehidupan seharian. Malah ia juga kaya dengan protein, serat, asid lemak omega-3, vitamin, garam mineral dan tidak keting­galan antioksida,” katanya.

Tambahnya, protein sememangnya diperlukan tubuh untuk pembinaan sel baru, membaik pulih sel lama dan membina otot badan terutama kanak-kanak bagi mencapai pertumbuhan optimum.

Berdasarkan Piramid Makanan Malaysia, kekacang seperti kacang soya hitam tergolong dalam kumpulan protein yang sebaris dengan ayam, ikan dan telur.

Kacang soya hitam me­ngandungi lebih banyak protein jika dibandingkan de­ngan kacang soya yang lain. Secawan kacang soya hitam yang dimasak mengandu­ngi kira-kira 15 gram protein berbanding dua gram daripada kacang soya lain.

“Selain padat dengan sumber protein, kacang soya hitam juga kaya dengan serat makanan. Serat makanan mempunyai pelbagai kebaikan termasuk menyebabkan rasa kenyang bagi membantu mengawal pe­ngambilan makanan secara berlebihan dan merendahkan kolesterol.

“Kaji selidik mendapati kebanyakan rakyat Malaysia hanya mengambil kurang daripada separuh serat makanan yang disarankan.

“Secawan kacang soya hitam mengandungi 15 gram serat makanan melebihi separuh daripada pengambilan harian serat makanan yang dicadangkan pakar iaitu 25 gram sehari,” katanya.

Makanan yang berserat tinggi seperti kacang soya hitam membantu dalam mengawal tahap gula dalam darah bagi pesakit diabetes. Pengambilan sekurang-kurangnya 200 gram kacang soya sehari dapat membantu mengurangkan risiko penyakit diabetes tahap dua.

Kacang soya hitam juga baik untuk jantung. Kandungan asid lemak omega-3 membantu menurunkan paras tryglyceride yang tinggi dalam darah dan pengambilan secara tetap mengurang­kan risiko serangan jantung.

Selain itu, ia juga me­ngandungi antioksida yang diketahui umum berpotensi membantu menurunkan risiko menghidap kanser.

Kandungan antioksida dalam kacang soya hitam juga lebih tinggi berbanding kacang soya kuning disebab­kan kulitnya yang hitam.

Indra turut menyatakan, perubatan tradisional Cina percaya nut­risi dalam kacang soya hitam membantu menguatkan ginjal dan hati.

“Apabila organ ini kuat dan berfungsi secara optimum, peredaran darah di dalam badan serta bahagian pende­ngaran juga dapat dijalankan secara optimum sekali gus membantu dalam keseimbangan fungsi tubuh badan.

“Selain itu, kacang soya hitam turut digunakan secara tradisional dalam kecantikan bagi memiliki kulit yang cerah dan berseri selain membantu menghalang keguguran rambut serta kemunculan uban.

“Kacang soya hitam juga dijadikan serbuk yang digunakan terus kepada kulit bagi menyingkirkan sel kulit mati dan membantu proses pemulihan kulit,” jelasnya.

Tambahnya, asid lemak yang terdapat di dalam kacang soya juga bertindak sebagai pelembap yang digunakan untuk menghaluskan kulit. Sehingga kini, kacang soya hitam digunakan sebagai salah satu bahan dalam pembuatan produk kecantikan kulit.




0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.