Rabu, 1 Mei 2013

Rabu, Mei 01, 2013

Al Fatihah - Yahya Jusoh Meninggal Dunia | Yahya Jusoh, 61, yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, telah disahkan meninggal dunia akibat kanser prostat selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu kira-kira pukul 4.50 petang semalam.

Al Fatihah - Yahya Jusoh Meninggal Dunia

Menurut anak ketiga Allahyarham, Hazim Yatimi, 26, berkata, sebelum dimasukkan ke hospital, bapanya pernah mengadu sakit selepas mengalami demam beberapa hari yang lalu.

“Bagaimanapun, arwah bapa tiba-tiba mengadu sesak nafas selepas Subuh pagi tadi (semalam) sehingga memaksa saya memanggil doktor untuk datang merawatnya di rumah kira-kira pukul 9 pagi tadi.

“Doktor kemudian menyarankan supaya saya bawa bapa ke hospital kerana keadaannya semakin teruk. Selepas dibawa ke hospital kira-kira pukul 11 pagi, Allahyarham kemudian dimasukkan ke ICU kira-kira pukul 3 petang dan disahkan meninggal dunia sekitar pukul 4.50 petang,” katanya.

Walaupun berasa sedih, Hazim memberitahu, mereka sekeluarga reda kerana Allahyarham telah lama sakit (penyakit saraf) iaitu sejak tahun 2009.

Selain Hazim, Yahya yang seangkatan dengan legenda bola sepak negara iaitu Datuk Soh Chin Aun dan Allahyarham Mokhtar Dahari juga meninggalkan seorang balu, Normah Alias, 60, serta tiga anak perempuan iaitu Mardiah Hayati, 32, Mardiah Sabrina, 29, Mardiah Hazwani, 25, bersama tiga orang cucu.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mencemar duli menziarahi jenazah Allahyarham di rumahnya.

Yahya Jusoh Meninggal Dunia
SULTAN MIZAN (kanan) memberikan penghormatan terakhir kepada Yahya di rumahnya di Kuala Terengganu semalam
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh.

Dalam pada itu, Che Mat menganggap pemergian Yahya merupakan satu kehilangan besar dalam arena bola sepak negara.

“Dia (Yahya) seorang yang baik sama ada di dalam atau di luar padang. Saya sudah mengenali Yahya begitu lama dan pernah melawatnya sewaktu dia sakit dulu. Kehilangannya memang amat dirasai,” katanya.

Jenazah Allahyarham yang juga bekas tonggak pertahanan Terengganu pada era 1970-an dan 1980-an itu dijangka dikebumikan kira-kira pukul 9 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Batu Burok di Kuala Terengganu.



sumber
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.