Isnin, 6 Mei 2013

Isnin, Mei 06, 2013
BN Terajui Malaysia Untuk Lima Tahun Lagi | Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merakamkan penghargaan kepada pengundi dan seluruh rakyat Malaysia kerana memilih semula Barisan Nasional (BN) bagi mentadbir Kerajaan Persekutuan bagi tempoh lima tahun lagi.

BN Terajui Malaysia Untuk Lima Tahun Lagi

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada jentera BN yang telah bekerja bertungkus lumus bagi memastikan BN menubuhkan Kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sejurus selepas BN memperoleh majoriti mudah 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perdana Menteri berharap semua pihak dapat menerima keputusan itu yang memperlihatkan amalan demokrasi berjalan dengan telus.

Najib yang juga pengerusi BN berkata, dengan keputusan itu serta demi kepentingan negara, beliau berharap pakatan pembangkang dapat menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan membenarkan proses demokrasi berjalan dengan baik dan lancar selepas BN membentuk kerajaan pusat.

Najib berkata, sebuah mekanisme khusus untuk memantau pelaksanaan aku janji BN akan ditubuhkan bagi membuktikan komitmen gabungan itu dalam menunaikan janji kepada rakyat.

"...rakyat sedar apabila kita membuat janji, kita akan tepati," katanya.

Mengenai keputusan pilihan raya umum kali ini, Perdana Menteri berkata, secara keseluruhannya menunjukkan trend polarisasi pengundi membimbangkan.

Beliau berkata, sekiranya perkara itu tidak ditangani sebaik mungkin, ia boleh menimbulkan ketegangan dan perbalahan dalam negara.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sementara itu, kemenangan BN turut dirai saf kepimpinan BN bersama lebih 300 penyokong yang memenuhi Dewan Tun Dr Ismail di PWTC yang menyambut kedatangan Najib dengan laungan "Hidup BN" berkali-kali.

Mereka turut mengaminkan doa yang dibacakan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya sebelum Najib memotong pulut kuning yang disediakan.

Berucap di hadapan para penyokong BN, Najib berkata, kemenangan yang dicatat BN amat bermakna memandangkan parti itu bukan sahaja menghadapi tentangan hebat dalam tempoh 14 hari berkempen, tetapi sejak lima tahun lepas.

"Walaupun tentangan begitu hebat yang telah kita hadapi bukan sahaja sepanjang 14 hari berkempen tetapi sejak lima tahun lepas mereka cuba mengganggu gugat dan menjatuhkan BN tetapi Alhamdulillah kita kembali berkuasa.

"Ini satu pencapaian yang boleh kita banggakan yakni BN hari ini merupakan parti yang terus menerus tanpa terhenti berkuasa di bumi Malaysia yang bertuah ini," katanya.

Menyelar tindakan pembangkang yang menimbulkan fitnah dan tuduhan tidak berasas termasuk menuduh BN "mengimport" warga Bangladesh sebagai pengundi, Najib berkata, tindakan jahat itu sengaja dibuat untuk menimbulkan kemarahan rakyat kepada BN.

"Inilah antara putar belit yang dilakukan pembangkang untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap BN.

"Mereka melontar isu-isu yang berbaur perkauman untuk menimbulkan kebencian kepada BN, mereka fitnah, tuduh kita macam-macam tetapi rakyat memilih juga BN," katanya disambut sorakan mereka yang hadir.

Najib berkata, BN akan menggunakan mandat lima tahun yang diberikan sebaik mungkin, terutama untuk mengukuhkan BN sebagai sebuah parti dan memastikan parti itu akan berkhidmat dengan lebih gigih dan lebih bersemangat untuk rakyat Malaysia.

"Mudah-mudahan dengan kemenangan ini kita akan gunakan mandat ini... inilah satu amanah daripada rakyat dan kita mesti dengan penuh rendah diri menggunakan amanah ini untuk kebaikan dan kepentingan rakyat dan negara.

"Mudah-mudahan dengan sikap sedemikian, dengan penuh tawadduk dan rendah diri, kita akan berkhidmat kepada rakyat dan BN akan terus menerus menjadi parti yang mencapai rekod yang terbaik di dunia, insya-Allah," katanya. - BERNAMA


Artikel Lain



sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130506/px_90/PRU-13-PM-rakam-penghargaan-kepada-rakyat-pilih-semula-BN#ixzz2SSLwjJwv



0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.