Jumaat, 3 Mei 2013

Jumaat, Mei 03, 2013

Di Kritik Hebat - Norman KRU Sedia Bersemuka Dan Berdialog | Walaupun mendapat kritikan dari pelbagai pihak, Norman Abdul Halim yang juga  Presiden Eksekutif KRU Studios tetap mempertahankan kenyataan kontroversi yang dibuatnya menerusi laman sosial Twitter baru-baru ini.

Di Kritik Hebat - Norman KRU Sedia Bersemuka Dan Berdialog

Norman KRU dikritik hebat termasuk dikalangan artis sendiri apabila menyatakan pendiriannya bahawa industri hiburan termasuk filem dan muzik akan hancur sekiranya Pas berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Norman yang dihubungi wartawan kosmo semalam tetap dengan pendiriannya berdasarkan kepada apa yang berlaku setelah Pas berjaya memerintah negeri Kelantan pada tahun 1990.

"Kita dapat melihat apabila Pas menawan dan membentuk kerajaan di Kelantan, semua panggung wayang ditutup dan penganjuran konsert juga sudah tidak dibenarkan lagi.

"Pada pandangan saya, ia sudah mencerminkan bahawa industri hiburan mula mengalami zaman kehancuran dan sekiranya Pas memerintah Malaysia, tidak mustahil perkara yang sama terjadi," jelasnya.

"Saya sendiri beragama Islam dan tahu rezeki itu datang daripada Allah. Jadi, tidak perlu memutarbelitkan setiap kenyataan yang dibuat kalau tidak bersetuju dengan pandangan yang saya berikan," tambahnya lagi.

Norman turut mengulas mengenai kritikan beberapa rakan dalam industri hiburan berhubung kenyataannya itu, Norman beranggapan pihak yang mengkritiknya tidak menilai buah fikiran yang dilontarkannya secara lebih mendalam.

Norman turut menambah, dia bersedia bersemuka dan berdialog dengan mana-mana pihak untuk membincangkan mengenai kenyataannya, sama ada sebelum atau selepas PRU-13. Dengan yakin, Norman memberitahu dia mampu berhadapan dalam sesi dialog tersebut kerana mempunyai kredibiliti memandangkan sudah 20 tahun berada dalam industri hiburan di negara ini.

"Sebelum ini saya pernah berjumpa dengan pemimpin Pas untuk berbincang berkenaan dasar parti itu mengenai hiburan. Beliau mempunyai pandangan sendiri mengenainya," ujarnya.

Apabila ditanya sama ada dia tidak bimbang atau risau sekiranya kenyataan yang dibuat itu memberi impak yang negatif terhadap syarikat dan artis di bawah naungan KRU Studios, Norman menyatakan apa yang dinyatakannya itu lebih kepada pandangan peribadi.

Menurutnya, sekiranya perkara tersebut berlaku, dia menganggap ia lebih kepada satu penindasan kerana syarikat dan artis naungannya langsung tidak berkaitan.

"Setiap kenyataan yang dibuatnya itu lebih bersifat peribadi, malah saya menggunakan laman Twitter sendiri untuk memberikan setiap pandangan supaya ia dapat dinilai terutamanya oleh golongan muda.

"Lagipun semua orang berhak meluahkan pandangan masing-masing kerana Malaysia mengamalkan prinsip demokrasi. Setiap individu diberi kebebasan tidak kira sama ada daripada parti pemerintah atau pembangkang," tegasnya.

Menurut Norman lagi, dia berasa lega kerana sehingga kini tidak pernah mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat berbaur ugutan, meskipun dikritik hebat menerusi laman Twitter.

"Terpulang kepada penilaian masing-masing berkenaan kenyataan saya itu sama ada mahu terima atau kritik. Sekiranya saya mendapat SMS atau surat ugutan, barulah saya akan laporkannya kepada pihak polis," ujarnya.




Artikel Menarik



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2SCHmUNr4



0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.