Khamis, 23 Mei 2013

Khamis, Mei 23, 2013

Izan Nafi Terima Sebarang Bantuan Air Asia | Ibu kepada anak yang juga merupakan penumpang malang pesawat tambang murah AirAsia, Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, menafikan menerima sebarang bantuan daripada Air Asia selepas dia dan anaknya Maryam Sofea Mohd. Reza, 14 bulan, dihalang menaiki pesawat di Ho Chi Minh, Vietnam untuk pulang ke tanah air baru-baru ini.

Izan Nafi Terima Sebarang Bantuan Air Asia

Malah kata Izan, dia berasa kecewa dengan sikap lepas tangan AirAsia ketika berada di Vietnam dan berasa dirinya dipermainkan selepas hanya menerima panggilan daripada syarikat penerbangan itu yang menawarkan tiket percuma selepas selamat tiba di negara ini.

"Saya tegaskan di sini, tiada apa bantuan pun diperoleh daripada syarikat AirAsia selepas saya dihalang menaiki pesawat penerbangan itu. Tiada siapa yang membantu saya daripada syarikat berkenaan.

"Mereka (AirAsia) tidak langsung menawarkan sebarang bantuan, malah saya terus mengambil teksi pada pukul 11 malam di negara berkenaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Penjelasan Izan Suhaila itu berbeza dengan penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar yang mendakwa, ibu malang berkenaan menolak bantuan pihaknya kerana sudah menerima bantuan daripada pihak lain.

Aireen seperti laporan Buletin Utama di TV3 berkata: "Pihak kami telah tawarkan bantuan kepada Suhaila Mohd. Alian, termasuk balik dengan percuma pada ketika ini (itu), tetapi saya rasa puan Izan (Izan Suhaila) telah dapat uruskan dengan pihak lain, jadi kami hormati bantuan diberi pada masa dan hari yang sama."

Dalam pada itu, Izan Suhaila juga berharap kejadian yang menimpa dia dan anaknya tidak berlaku kepada individu lain pada masa akan datang.

"Saya sedih dan tidak mahu bercakap mengenai AirAsia lagi. Apa yang berlaku ini sesuatu yang tidak dapat diterima. Saya harap perkara ini tidak berlaku kepada orang lain.

"Mujurlah saya ada ahli keluarga yang dapat membantu ketika saya dan anak berada dalam kesulitan. Tetapi cuba bayangkan jika individu yang terkandas itu tidak mengenali atau mempunyai sesiapa di negara orang yang boleh diminta bantuan atau dihubungi," katanya.


Artikel Berkaitan







sumber
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130523/dn_06/Izan-nafi-terima-bantuan-AirAsia#ixzz2U7y4kgFW



0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.