Ahad, 15 September 2013

Ahad, September 15, 2013
Nabila Huda Kecil Hati Dengan Amy Search? Sejak Nabila Huda terlibat dalam kemalangan bersama anaknya Keisha dan seorang rakan selebriti, pelbagai kisah mula timbul mengaitkan aktres popular ini.

Nabila Huda Kecil Hati Dengan Amy Search?

Akibat kejadian, beliau bukan sahaja dimarahi bekas suami di atas kecuaian rakannya dalam memandu sehingga mengakibatkan kecederaan kepada anaknya, Nabila Huda turut ditubi dengan pelbagai persoalan mengenai kenyataan bapanya.

Ayahnya Amy Search ketika mengulas dilihat turut menyalahkan anaknya di atas apa yang terjadi. Dalam satu kenyataan, Amy Search turut menyifatkan kemalangan itu merupakan petunjuk kecil dari ALLAH SWT di atas apa yang telah dilakukan Nabila sebelum ini.

Bukan setakat itu, Amy turut meluahkan rasa kecewanya di laman mikro, Twitter, mengenai  Nabila yang tidak pulang beraya bersamanya ketika Aidilfitri lalu.

Akui terkejut dengan kenyataan itu, Nabila atau lebih mesra di sapa Abil ini tidak menyangka bapanya sanggup memberitahu media mengenai perkara itu.

“Memang pada mulanya, saya terkejut dan terasa hati dengan kenyataan Papa. Namun, sebagai anak, saya anggap ianya sebagai nasihat bapa kepada anak.

“Segalanya saya terima dengan hati yang terbuka. Malah, saya jadikannya sebagai semangat untuk hari-hari yang mendatang.

“Saya bukan sengaja untuk tidak pulang beraya bersamanya di Johor Bahru, namun saya keliru kerana ibu saya juga turut meminta saya untuk beraya bersamanya di Klang.

“Jadi, saya buat keputusan untuk beraya bersama rakan-rakan di Singapura. Walaupun tidak beraya bersama, saya ada menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada Papa,” katanya.

Walaupun Abil hanya mengalami cedera ringan akibat kemalangan yang berlaku pada Ahad lalu, namun anaknya mengalami retak di bahagian siku kanan kiri.

Menurut Abil, keadaan anaknya kini bertambah baik dan tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Alhamdulillah, keadaan Keisha sekarang stabil dan saya hanya cedera ringan. Tulang belakang dan urat leher saya lari sedikit akibat kemalangan itu.

“Namun, saya tak mengapa. Yang penting, Keisha selamat. Saya berterima kasih kepada kawan-kawan dan saudara mara yang sudi meluangkan masa untuk melawat di rumah.

“Doktor menyarankan saya untuk berehat selama tiga hari dan Jumaat lalu, saya dah mula bekerja,” katanya yang kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri terbitan Metrowealth, Dia Suamiku.

Selain itu, Nabila turut mengulas mengenai dakwaan bekas suami yang mempertikaikan tindakannya membawa anak ke tempat kerja.

“Saya memang selalu bawa Keisha. Namun, bila dah jadi macam ni, ia menjadi satu kesalahan.

“Orang selalu membuat andaian dan pandangan secara negatif sahaja,” katanya lagi.

Bukan sahaja Nabila Huda yang perlu menjawab pelbagai persoalan mengenai kemalangan tersebut, malah rakan selebriti yang juga pemandu kenderaan itu, Syazwan Zulkifli, juga turut dipersalahkan.

Malah, timbul pula dakwaan liar yang mengatakan Abil dan Syazwan mempunyai hubungan istimewa.

Tegas Abil, dia dan Syazwan hanyalah kawan biasa dan perkara sebegini tidak sepatutnya menjadi isu besar.

“Kami memang dah lama berkawan. Kebetulan pada ketika itu, dia juga turut menghadiri Karnival Planet Gempak di Kuantan untuk mempromosikan drama terbaru, Jodoh Itu Milik Kita.

“Jadi, saya minta untuk menumpangnya kerana saya memang tak memandu ke luar daerah.

“Takkan lah kerana tumpang, terus orang kaitkan saya dengan dia?,” kata pelakon drama, Julia, ini.

sumber
http://www.sinarharian.com.my/hiburan/nabila-huda-kecil-hati-dengan-amy-search-1.202164


0 comments:

Catat Komen

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.