Isnin, 10 Mac 2014

Isnin, Mac 10, 2014
MH370 Tidak Meletup Di Udara - Pegawai US | Teori pesawat MAS, MH370 meletup di udara ditolak selepas akhbar The New York Times memetik ulasan pegawai kerajaan Amerika Syarikat.

MH370 Tidak Meletup Di Udara - Pegawai US

Menurut pegawai tersebut, data pemantauan awal yang diperiksa Pentagon mencadangkan MH370 tidak meletup di Laut China Selatan berdasarkan sistem pemantauannya di seluruh dunia.

Sementara itu, episod kehilangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) kini tertumpu kepada dua penumpang misteri yang menaiki pesawat itu menggunakan pasport palsu milik warganegara Itali dan Austria.

Ketika anggota keluarga penumpang semakin resah apabila tiada penemuan.

Selepas lebih daripada 48 jam, misteri dua penumpang itu menimbulkan pelbagai teori yang mengaitkan mereka dengan kehilangan pesawat MH370. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika mengulas kemungkinan terdapat unsur ancaman pengganas, berkata kerajaan tidak akan membuat sebarang kesimpulan tanpa bukti kukuh.

"Sekarang tak ada bukti kukuh, macam-macam teori melayang. Kita terpaksa mencari semua kemungkinan petunjuk dan kena siasat sebelum membuat kesimpulan kukuh," kata Najib.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) Datuk Azaharuddin Abdul Rahman berkata pihaknya menyiasat pelbagai aspek, termasuk sama ada pesawat itu dirampas, namun tidak dapat mengesahkannya selagi MH370 belum dijumpai.

Sehingga ini, nasib pesawat itu, yang membawa 227 penumpang dari 14 negara termasuk 38 rakyat Malaysia selain 12 anak kapal, tidak diketahui.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan terperinci akan memberi tumpuan khusus kepada Jabatan Imigresen cawangan KLIA.

"Saya masih hairan takkanlah (pegawai imigresen) tak boleh fikir, orang Itali dan Austria tapi muka macam orang Asia," katanya.

Sementara itu, Pegawai Meteorologi Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Khairul Najib Ibrahim berkata tiada sebarang perubahan cuaca ketara berhampiran perairan negara yang dilihat boleh mengancam penerbangan pesawat MH370 sewaktu ia dilaporkan hilang.

Sehingga 8.30 malam dalam sidang media terakhir untuk hari ini, Azaharuddin mengesahkan operasi mencari dan menyelamat yang menyaksikan pembabitan sejumlah 34 pesawat dan 40 kapal laut membabitkan aset negara dan luar negara, masih gagal mengesan pesawat MH370. - Bernama



sumber
http://www.hmetro.com.my/articles/MH370takmeletupdiudara//Article?BeritaUtama


0 comments:

Catat Komen

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.