Sabtu, 21 Jun 2014

Sabtu, Jun 21, 2014
Pengantin Kesal Kek Hantaran Berulat | Keluarga pengantin dari Kampung Jelu, Dong, di sini kesal dan terkejut apabila mendapati coklat yang dibeli sebagai hantaran perkahwinan berulat.

Pengantin Kesal Kek Hantaran Berulat

Pengantin, Nor Amalina Mohd Hamras, 19, telah membeli coklat terbabit pada harga RM35.90 di sebuah pasar raya pada 12 Jun lalu.

Ibu saudara pengantin, Hazira Mohamed berkata, coklat itu dibuka sehari selepas majlis kenduri kahwin berkenaan iaitu pada Ahad lalu.

“Kenduri berlangsung pada hari Sabtu dan keesokannya coklat itu dibuka oleh anak saya dan sepupunya untuk dimakan bersama.

“Hampir separuh coklat tersebut dimakan oleh anak dan sepupunya yang masih kecil. Namun kemudiannya apabila suami kepada Nor Amalina hendak makan coklat terbabit, barulah disedari coklat tersebut berulat,” katanya.

Menurutnya, setelah menyedari terdapat ulat dalam coklat tersebut, mereka telah membuka keseluruhan baki coklat dan mendapati kesemua coklat terbabit mengandungi ulat yang masih hidup.

“Kami juga telah memeriksa tarikh luput coklat ini dan mendapati ia luput pada September nanti. Jadi kami merasa hairan mengapa coklat yang belum luput telah berulat,” katanya.

Menurutnya, hantaran coklat terbabit pada asalnya adalah untuk keluarga pihak lelaki, namun ia tidak dibawa pulang memandangkan keluarga lelaki terbabit merupakan warga asing.

“Keluarga lelaki tidak bawa pulang hantaran kerana mereka datang dari jauh. Kami bernasib baik kerana jika ia dibawa pulang oleh keluarga lelaki, kami akan mendapat malu kerana hantaran yang diberi berulat,” katanya.

Hazira berkata, mereka sekeluarga telah membuat aduan kepada pihak pasar raya yang menjual coklat terbabit, namun mereka enggan memberi ganti rugi kerana sebahagian coklat terbabit telah dimakan.

“Kami tidaklah terlalu mengharapkan ganti rugi, namun cuma mahu memaklumkan kepada mereka akan masalah terbabit supaya tidak ada lagi pembeli yang menjadi mangsa,” katanya.

Menurutnya, dia juga pernah terbaca dalam laman sesawang mengenai kejadian sedemikian membabitkan coklat jenama sama turut berlaku ke atas orang lain.

“Saya ada terbaca dalam internet berkenaan perkara ini, sekali gus menunjukkan kejadian yang sama pernah berlaku sebelum ini cuma mungkin ia tidak diketengahkan.

“Tidak kira apa juga jenis coklat, kami memang serik hendak makan selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian.

sumber
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/kesal-coklat-hantaran-berulat-1.291843


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.