Sabtu, 31 Januari 2015

Sabtu, Januari 31, 2015
Pulau Pisang, Malaysia Kena Bertindak Sebelum Singapura Tuntut Hak | Singapura boleh menuntut Pulau Pisang sekiranya republik itu mengamalkan ‘pendudukan efektif’ di pulau berkenaan untuk satu tempoh yang lama mengikut Undang-undang Laut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).

Pulau Pisang, Malaysia Kena Bertindak Sebelum Singapura Tuntut Hak

Pemerhati undang-undang, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, jika Malaysia mengakui sebagai pemilik bagi sesebuah kawasan maka perkara itu perlu dibuktikan kepada negara-negara lain dan juga seluruh dunia.

“Dari sudut UNCLOS, cara sesuatu tempat boleh dituntut oleh negara lain ialah dipanggil ‘effective occipation’ (pendudukan efektif). Maknanya kawasan itu diduduki atau diuruskan oleh negara berkenaan.

“Saya tidak pasti situasi sebenar di Pulau Pisang tetapi sekiranya pulau itu juga ditadbir oleh Singapura bagi tempoh masa yang panjang dan kita tidak ambil apa-apa tindakan untuk menunjukkan bahawa kita adalah tuan punya pulau itu, maka Singapura boleh buat tuntutan,”

Beliau turut mengingatkan bahawa Pulau Batu Puteh telah diuruskan oleh Singapura dan perkara itu menjadi asas tuntutan republik tersebut.

Beliau yang juga seorang peguam itu menyarankan agar Malaysia segera mengambil langkah berwaspada dengan mentadbir pulau yang terletak kira-kira 8 kilometer di luar perairan Pontian itu.

Sekiranya Malaysia melakukan pendudukan efektif ke atas pulau tersebut seperti mentadbirnya, kita mungkin tidak akan hilang kelayakan untuk mengatakan pulau itu adalah hak milik kita.

“Setakat ini Singapura memang tidak membuat sebarang tuntutan lagi tapi kita perlu berwaspada. Pulau Batu Puteh itu satu isu yang sangat sedih buat sejarah Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pulau itu perlu didiami warga Malaysia meskipun hanya dalam bilangan yang kecil.


“Kerajaan perlu sentiasa menunjukkan kepada Singapura dan dunia bahawa kita melakukan pentadbiran kesemua pulau di Malaysia.

“Cara terbaik adalah Malaysia menempatkan kem tentera dan juga penduduk yang menetap di pulau itu.

“Walaupun jumlahnya kecil tapi penduduk itu mestilah warganegara Malaysia dan mentadbir urus pulau tersebut,” katanya.

Tambahnya, “kita mesti ambil langkah-langkah untuk membangunkan apa saja yang kita boleh buat. Mungkin bangunkan sektor pelancongan di sana.”

1 Julai 2008 lalu, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, isu kedaulatan Malaysia terhadap Pulau Pisang tidak perlu timbul ekoran pulau itu sudah diwartakan dalam mukim Pontian dan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Majlis Daerah Pontian.

Pulau Pisang terletak 5 kilometer dari bandar Benut itu mempunyai kedudukan strategik iaitu di bahagian selatan laluan perkapalan yang sibuk di Selat Melaka.

Terdapat sebuah rumah api setinggi 53 meter yang dikendalikan oleh Kakitangan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Di kawasan sekitarnya pula terdapat tiga buah pulau lain iaitu Pulau Sauh, Pulau Kemudi dan Pulau Tunda.


Sedikit Info Mengenai Pulau Pisang

Pulau Pisang adalah salah sebuah pulau kecil yang terdapat di perairan negeri Johor Darul Ta'zim, Malaysia. Pulau ini terletak 5 kilometer dari bandar Benut, Pontian dan 12 kilometer dari Pontian Kechil. Ia berada di selatan laluan perkapalan Selat Melaka yang sibuk serta berkedudukan strategik di barat daya negeri Johor.

Di pulau ini terdapat sebuah rumah api yang dikawal selia oleh Singapura berikutan daripada perjanjian di antara Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim dan kerajaan Inggeris pada 1900.


Namun berikutan daripada hasil kes pertindihan tuntutan wilayah antara Malaysia dan Singapura di Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang telah memihak kepada Singapura, terdapat gesaan dari pelbagai pihak supaya kerajaan Malaysia segera mengambil alih pengurusan rumah api tersebut. Walaupun Singapura ketika ini mengakui pulau itu milik Malaysia, penduduk Malaysia bimbang jika Pulau Pisang juga bakal menerima nasib yang sama seperti Pulau Batu Puteh jika kerajaan Malaysia tidak berbuat apa-apa untuk membuktikan penguasaan serta kedaulatannya terhadap pulau ini.

Pada bulan Ogos tahun 2008, pewaris tanah perkebunan di Pulau Pisang mendakwa kerajaan Singapura telah meluaskan lot-lot tanah yang menganjur bermula dari sekitar kawasan Rumah Api Pulau Pisang. Bukti pembesaran adalah dengan perubahan struktur dapat dilihat dengan jelas berbanding dahulu serta keluasan tanah yang dilebarkan.

Pada tahun yang sama, Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan, pula meminta Kerajaan Malaysia untuk menyiasat dakwaan pembinaan sebuah stor simpanan dan jeti oleh Pihak Berkuasa Maritim Singapura (MPA) di Pulau Pisang. Desakan ini bertujuan bagi memantau agar Singapura tidak melanggar perjanjian yang termaktub di antara Sultan Johor dan Kerajaan Negeri-Negeri Selat yang berpengkalan di Singapura pada 1900.

Menurut perjanjian tersebut di antara Almarhum Sultan Ibrahim dan Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir James Alexander Sweethenham pada 6 Okt 1900, kawasan keluasan rumah api yang dipersetujui adalah 1 ekar, 1 Rod dan 18 Poles. Keluasan laluan daripada jeti ke rumah api pula ditetapkan pada 1 ekar dan 5 Poles, manakala keluasan jeti pula adalah 17 Poles.

Seorang lagi waris pemilik kebun di pulau terbabit, Abdul Razak Malutak, 66, berkata kawasan rumah api yang ditadbir republik itu turut mempunyai kemudahan bagi pendaratan helikopter. Pada tahun-tahun 80-an, penduduk kadangkala melihat helikopter Singapura di kawasan rumah api terbabit sedang menghantar barangan-barangan berat untuk kegunaan rumah api itu.

Penduduk tempatan juga didakwa dilarang oleh penjaga rumah api untuk menggunakan perkhidmatan jeti yang disifatkan milik persendirian.

Long Pulau Pisang- 1.4675,103.254722

Klik Gambar Utk Besarkan Saiz


sumber
http://www.sinarharian.com.my/nasional/pulau-pisang-singapura-boleh-tuntut-hak-1.328059
http://ms.wikipedia.org/wiki/Pulau_Pisang


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.