Jumaat, 28 November 2014

Jumaat, November 28, 2014
Warga Emas Parah DiBelasah, DiSiram Air Panas Oleh Menantu Angkat |  Seorang warga emas yang juga merupakan pengusaha gula Melaka cedera parah akibat disimbah air panas dan dipukul dengan cota oleh menantu angkatnya dalam kejadian di Batu 18 1/4, Ayer Hitam, Muar semalam.

Warga Emas Parah DiBelasah, DiSiram Air Panas Oleh Menantu Angkat

Lelaki malang berkenaan, Mohd. Noor Abdullah, 55, atau lebih dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai Wak Jamil Gula Melaka, diperlakukan sedemikian selepas bertengkar berhubung soal kewangan dengan menantu angkatnya kira-kira pukul 4 pagi.

Mangsa yang tinggal bersama anak angkat dan suaminya itu, dipukul dengan cota di kepala sebelum disimbah dengan air panas dan keadaan itu disedari salah seorang saudara yang tinggal berdekatan selepas mendengar jeritan mangsa.

Biras mangsa, Rubiah Manaf, 57, berkata, saudaranya itu tidak berani untuk membuka pintu kerana bimbangkan keselamatan dirinya berikutan sifat menantu angkat mangsa yang agak agresif sebelum ini.

"Sebaik sahaja membuka pintu, dia terkejut melihatkan keadaan Wak Jamil yang berlumuran darah, tidak bermaya dan dalam keadaan merangkak meminta pertolongan," katanya

Difahamkan mangsa yang tidak mempunyai anak dan kematian isterinya sejak dua tahun lalu itu tinggal dengan anak angkat dan suaminya itu dan mangsa sering pulang lewat berikutan menjalankan perniagaan membuat gula Melaka di Sungai Balang.

DiBelasah, DiSiram Air Panas Oleh Menantu Angkat
MOHD. NOOR ABDULLAH yang melecur akibat disimbah air panas terlantar di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, semalam.

Rubiah berkata, ekoran itu saudaranya mengejutkan beberapa lagi saudara lain yang juga tinggal berhampiran untuk membantu dan menghantar mangsa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan selain membuat laporan polis.

Tambahnya, kesempatan itu diambil menantu angkat Mohd. Noor untuk melarikan diri bersama keluarga malah sempat mencuri dompet mangsa yang kini berada dalam keadaan stabil walaupun masih memerlukan bantuan pernafasan akibat kecederaan parah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Muhammad Hanif Othman ketika dihubungi berkata, siasatan masih dilakukan dan suspek kini sedang diburu.

Menurut beliau, semakan rekod mendapati suspek juga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.


sumber
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tauke-gula-melaka-parah-8216-didera-8217-menantu-angkat-1.30094


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.