Selasa, 30 Disember 2014

Selasa, Disember 30, 2014
1 Lagi Mangsa Letupan Bom Di Taman Ria Mesra 2 Meninggal Dunia | Seorang lagi mangsa kejadian letupan bom di rumah milik anggota tentera di Taman Ria Mesra 2, Rabu lalu, Sharifah Azlina Hashim, 30, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, pagi semalam.

1 Lagi Mangsa Letupan Bom Di Taman Ria Mesra 2 Meninggal Dunia

Azlina yang juga isteri kepada anggota tentera, Koperal Ayub Hashim, 37, yang terbunuh dalam kejadian itu, disahkan meninggal dunia jam 9.23 pagi, selepas enam hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAH.

Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof, ketika ditemui mengesahkan kematian Azlina, sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu kepada empat orang.

Rabu lalu, bahan letupan jenis peluru pelancar roket antikereta kebal yang dibawa pulang Ayub dari Kem Hobart di Gurun, meletup selepas dipotong anggota tentera itu untuk mengambil komponen logam berharga di dalamnya.

Gambar Sekitar Letupan di Taman Ria Gurun

Selain Azlina yang dilapor kritikal sebelum ini dan suami, kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu turut mengorbankan anak perempuan mereka berusia lapan tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang juga anak jiran mereka.

Azlina turut kehilangan bayi berusia enam bulan dalam kandungannya selepas mengalami keguguran akibat kejadian itu.

Kejadian itu turut menyebabkan lebih 40 rumah mengalami kerosakan dan polis Kedah mengesahkan menerima lebih 60 laporan polis mengenai kejadian itu, majoritinya daripada pemilik rumah yang mengalami kerosakan.

sumber
http://www.bharian.com.my/node/25823


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.