Sabtu, 6 Disember 2014

Sabtu, Disember 06, 2014
17 Kaki "Potong" Myammar Akhirnya Berjaya Di Tahan | Suspek kes bunuh, potong dan buang mayat manusia didalangi warga Myammar dianggap sengaja mencabar Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila mencampakkan anggota badan mangsa bunuh yang dipotong di hadapan balai polis dan sebuah restoran diusahakan seorang anggota PDRM.

17 Kaki "Potong" Myammar Akhirnya Berjaya Di Tahan

Pembunuh kejam itu dikatakan memotong anggota badan mangsa kepada beberapa bahagian sebelum dicampakkan di beberapa lokasi berasingan bagi menyukarkan usaha polis menjejak mereka.

Namun, selepas hampir dua minggu siasatan dijalankan, kes itu dianggap selesai selepas 17 suspek termasuk dua dalang utama berusia 20 hingga 45 tahun ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar negeri ini dan Rawang, Selangor oleh pasukan khas ditubuhkan melalui Op Kelar.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dua suspek terakhir dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam itu ditahan di Georgetown, awal pagi semalam, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, selain itu, hasil penahanan beberapa individu termasuk dua suspek utama, polis dibawa ke dua rumah di Kampung Pisang, Machang Bubok di sini, awal pagi Isnin lalu, dengan satu daripada premis itu dijadikan sebagai lokasi untuk memancung dan memotong anggota badan mangsa.

“Kami turut menemui tiga parang digunakan suspek untuk memotong anggota badan mangsa serta Proton Waja dan motosikal milik seorang daripada mereka dan kenderaan berkenaan dipercayai digunakan untuk membawa anggota badan berkenaan sebelum dibuang.

“Kami akui kumpulan ini sengaja mencabar polis apabila satu kepala mangsa dibunuh dibuang di hadapan Balai Polis Machang Bubok, manakala satu lagi kepala ditinggalkan di hadapan restoran diusahakan anggota PDRM,” katanya.

Abdul Rahim berkata, suspek mula menyewa di rumah berkenaan sejak empat bulan lalu dan mereka melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara diri termasuk sebagai buruh binaan.


Beliau berkata, kejayaan menahan suspek berkenaan membantu menyelesaikan lapan daripada 18 kes pembunuhan membabitkan warga Myanmar dilaporkan berlaku di negeri ini sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti sekiranya kumpulan sama terbabit dengan beberapa lagi kes pembunuhan kejam lain sebelum ini.

“Sehingga kini, kami dapat sahkan kumpulan ini terbabit dengan lapan kes pembunuhan warga Myanmar. Kami dapati sebahagian besar kes pembunuhan membabitkan warga Myanmar ini berpunca daripada dendam lama di kampung halaman selain masalah hutang atau perasaan tidak puas hati.

“Dalam sesetengah kes, perkelahian sebenarnya membabitkan ahli keluarga di kampung halaman mereka, namun selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, mereka yang berada di sini turut bergaduh hingga ada menyebabkan kematian.

Saya beri amaran kepada warga Myanmar berkenaan supaya tidak letak undang-undang di tangan sendiri, sebaliknya hormati pihak berkuasa dan undang-undang negara ini,” katanya.

Abdul Rahim berkata, selain melengkapkan siasatan, polis kini melakukan gerakan mengesan satu lagi tubuh mangsa iaitu anggota badan terakhir belum ditemui selepas ia dibuang suspek.

Beliau berkata, cara melupuskan mayat secara kejam dengan memotong anggota badan mangsa itu dipercayai modus operandi terbaru penjenayah warga Myanmar berikutan sebelum ini beberapa mayat ditemui dalam keadaan dibungkus seperti dikafankan ditinggalkan di tepi jalan.

“Semua suspek ditahan adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kami melakukan semakan terhadap kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) untuk menambah baik kad UNCHR dirampas sama ada ia dikeluarkan organisasi sah atau sebaliknya.

“Kami memberi jaminan kepada orang ramai tidak panik atau risau dengan keselamatan diri berikutan kejadian jenayah didalangi warga asing kerana polis sentiasa memantau pergerakan mereka,” katanya.


Pada 24 November lalu, pemilik restoran dikenali sebagai Man, 40, menemui bungkusan plastik hitam mengandungi kepala lelaki tanpa kedua-dua belah telinga ditinggalkan di hadapan kedainya di Lorong Impian Ria 5, Taman Impian Ria, pada jam 4.30 petang.

Siasatan polis hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) diperoleh dari premis berkenaan mendapati bungkusan itu ditinggalkan dua lelaki bermotosikal pada malam sebelum kepala manusia itu ditemui.

Manakala pada 26 November, tubuh tanpa kepala, kaki dan tangan ditemui disumbat dalam guni di dalam tali air di Jalan Kampung Permatang, Sungai Bakap, diikuti penemuan kaki kanan manusia yang terapung dalam tali air di parit Paya Mahang, Sungai Bakap, 29 November lalu lalu.

Ia disusuli penemuan sepasang tangan dan kaki kiri manusia di dalam parit di kawasan Perindustrian Industri Kecil dan Sederhana Simpang Ampat, Ahad lalu.

Pada Isnin lalu, sepasang tangan dan kepala manusia ditemui di simpang masuk ke Jalan Pintas Taman Machang Bubok, jam 3.40 petang kira-kira 75 meter dari Balai Polis Chang Bubok.

sumber
http://www.hmetro.com.my/node/14275


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.