Rabu, 17 Disember 2014

Rabu, Disember 17, 2014
Doa Terima Anak Perempuan Depan Kaabah Di Makbulkan - Johan & Ozlynn | Ketika Johan dan Ozlynn mengerjakan umrah bersama-sama di Tanah Suci Makkah selama dua minggu awal tahun ini, keduanya tak menyangka telah berdoa perkara yang sama iaitu memohon dikurniakan anak perempuan semasa berada di Kaabah.

Doa Terima Anak Perempuan Depan Kaabah Di Makbulkan - Johan & Ozlynn

"Semasa mengerjakan umrah buat pertama kali secara bersama itu, kami tanpa disedari berdoa benda yang sama iaitu berharap kalau ada rezeki menimang cahaya mata lagi, kami mendambakan anak perempuan.

"Selepas melakukan tawaf dan buat solat sunat di dalam Hijr Ismail, saya tanyakan sendiri kepada Johan apa doa yang dia minta. Ketika itu kami berada di dalam bilik di hotel. Saya bercerita kepadanya kalau ada rezeki mengandung lagi saya nak anak perempuan.

"Johan pun bercerita kepada saya salah satu doanya ialah mahukan anak perempuan. Alhamdulillah doa kami diperkenankan Tuhan. Semestinya selepas ketiga-tiga hero dan kini dapat anak perempuan, saya bersyukur sangat-sangat," kata Ozlynn.

Nur Latifah Chantiq Hanania, anak keempat hasil perkongsian hidup pasangan ini dilahirkan pada 25 November lalu jam 4.56 petang di Pusat Perubatan Prince Court.

Malah impian dan hasrat Ozlynn sendiri untuk melahirkan anak perempuan akhirnya tercapai. Ketiga-tiga anak beliau kesemuanya lelaki.

Bagi Ozlyn keempat anaknya memberikan justifikasi tersendiri dalam hidup beliau dan Johan. Saat ini pun selepas kelahiran Chantiq, ramai peminat di laman Instagram yang begitu bermurah hati menghadiahkan macam-macam kepada puteri sulung mereka itu.

"Anak ini selalu bawa rezeki kepada pasangan suami isteri. Alhamdulillah Chantiq pun memberi rezeki yang sangat murah kepada kami. Cuma berbeza dengan abangnya yang lain, Chantiq lahir ketika ekonomi keluarga kami sudah stabil.

"Insya-Allah Johan sendiri cuba penuhi apa yang saya dan anak mahukan. Macam anak sulung dulu, dia membesar dalam serba kekurangan ketika saya dan Johan baru bertatih melayari bahtera perkahwinan.

"Anak kedua pula, status ekonomi sudah mula okey. Ketika itu lepaslah nak bayar ansuran kereta dan sewa rumah. Anak ketiga status ekonomi kian stabil. Saya dan Johan dapat bantu keluarga serba sedikit dan sudah beli rumah sendiri," katanya.

Doa Terima Anak Perempuan Depan Kaabah Di Makbulkan - Johan & Ozlynn

Ozlynn kini biarpun menggunakan khidmat pembantu rumah tetap tidak mahu lepas tanggungjawab. Beliaulah yang selalu memasak menu makanan sedap untuk keluarga, mengemas rumah dan jaga anak.

"Saya ini cerewet. Kadang-kadang kalau pembantu rumah kupas bawang tak bersih pun saya akan periksa balik. Saya mahu serba serbi bersih. Hati ini sudah terbiasa rasa seronok buat semua ini sendiri. Alhamdulillah kehidupan kami nak kata mewah tidaklah tapi sangat bahagia," katanya.

Kehadiran Chantiq diakui Johan sebagai rezeki yang cukup bermakna.

"Dia umpama million dolar baby," katanya ringkas.

sumber
http://www.bharian.com.my/node/23785


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.