Rabu, 3 Disember 2014

Rabu, Disember 03, 2014
Jabatan Perikanan Siasat Talapia Makan Babi | Minggu lepas seorang penggua Facebook memuatnaik ganbar sebuah kolam ternakan ikan talapia yang didakwa diberi makan daging babi hingga menjadi viral di FB.

Jabatan Perikanan Siasat Talapia Makan Babi

Terkini, Jabatan Perikanan Negeri Perak dan beberapa agensi berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Perak, pentadbir daerah Selama dan polis segera menyerbu lokasi itu semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak, Dr Bah Piyan Tan berkata, pihaknya sudah pun mengambil sampel ikan di kolam berkenaan untuk dianalisis.

Katanya, antara sampel diambil termasuk enam ekor ikan tilapia dan enam ekor ikan baung yang terdapat dalam kolam itu.

“Sampel yang kita ambil akan dianalisis dan dihantar ke Jabatan Kimia. Kita akan beritahu hasilnya selepas keputusan diterima,” katanya, semalam.

Sementara itu, Adun Kubu Gajah, Hasbullah Alias yang turut berada di lokasi tersebut berkata, terdapat enam kolam ikan ternakan tilapia terdapat di kawasan terbabit.

Hasbullah berkata, jika benar ikan-ikan dalam kolam berkenaan diberi makan babi, tindakan akan diambil terhadap pemiliknya.

Difahamkan, kolam-kolam terbabit tidak didaftarkan di bawah Jabatan Perikanan.


Mengulas isu itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, berdasarkan pemerhatian dilakukan, tiada bukti menunjukkan bahawa ikan di dalam kolam itu diberi makan bangkai babi.

“Pelampung yang terdapat di tengah-tengah kolam seperti dalam gambar dipaparkan dalam Facebook juga tidak ada lagi hari ini. Mungkin ia telah dialihkan oleh pemilik kolam,” katanya.

Bagaimanapun seorang saksi yang enggan dikenali memaklumkan, Ahad lalu, kira-kira jam 10 pagi, dia bersama tiga rakan menyaksikan sendiri ikan-ikan dalam kolam itu diberi makan bangkai babi.

“Saya lihat sendiri di depan mata dengan jarak kira-kira 10 meter dan saya cuba untuk mengambil gambar sebagai bukti,” katanya.

Katanya, selepas tersebarnya gambar tersebut, pemilik kolam mungkin segera membersihkan kolam ternakan ikannya.

“Sebab itu kita tidak menemui apa-apa dalam serbuan ini. Malah saya sendiri turun ke dalam kolam untuk menangkap beberapa ekor ikan untuk diuji oleh Jabatan Perikanan.

“Apa pun kita serahkan kepada jabatan yang berkenaan untuk membuat analisa dan penyelidikan terlebih dahulu untuk membuktikannya,” katanya.

Bagaimanapun pemilik kolam terbabit yang enggan dikenali menafikan dakwaan yang tersebar dalam internet itu.

Katanya, dia hanya memberikan ikan-ikannya makan bangkai kambing dan ayam setiap hari.


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.