Selasa, 23 Disember 2014

Selasa, Disember 23, 2014
Jururawat Hospital Alor Setar Layan Pesakit Macam Haiwan – Ajeli | Seorang lelaki meluahkan rasa kekecewaan berhubung sikap tidak mesra petugas jururawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, yang tidak ambil peduli tentang temujanji rawatan ibunya hari ini apabila dimaklumkan doktor bertugas bercuti.

Jururawat Hospital Alor Setar Layan Pesakit Macam Haiwan – Ajeli

Lelaki yang dikenali sebagai Ajeli Anuar memuat naik status di Facebooknya memaparkan pengalaman ngeri dengan tajuk ‘Hari ini dalam Sejarah’ telah dikongsi di laman Sukan Star TV di mana lebih 5,000 likes dan hampir 500 shares.

Menurut Ajeli, dia membawa ibunya, seorang warga emas, ke hospital tersebut pada 11.15 pagi berdasarkan kepada temujanji yang dibuat oleh doktor Syakir berhubung rawatan susulan dengan menunjukkan kad temujanji kepada petugas jururawat di kaunter servis.

Katanya, sebaik sahaja dia menunjukkan kad temujanji itu, jururawat tersebut meninggikan suara dengan tiba-tiba: “Setiap hari Rabu dan Khamis, tiada klinik rawatan berkaitan!”.

“Kami bukan suka-suka je datang ke sini hari ini. Kami datang ni bersebab. Doktor Syakir yang suruh kami datang ni,” jelas Ajeli, yang bekerja sebagai peniaga sambil memerhatikan gerak-geri jururawat tersebut berhubung temujanji itu.

Setelah 20 minit menunggu tanpa sebarang tindakan, dia pergi ke kaunter servis untuk bertanya kepada jururawat tersebut berkenaan status temujanji rawatan ibunya.

Malangnya, pertanyaan lelaki itu disahut dengan nada tinggi suara petugas tersebut yang berkata: “Kan saya dah bagitahu tadi, hari Rabu dan Khamis tiada rawatan klinik!”

“Saya tahu, masalah sekarang ini, doktor yang suruh kami datang hari ini pada jam 11.30 pagi. Kalau tak ada rawatan hari ini, kenapa suruh kami datang?” soalnya tanpa dihiraukan petugas jururawat terbabit.

Ekoran tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan, Ajeli terus meminta semula kad temujanji itu sambil mengambil gambar keadaan dalam klinik, namun sekali lagi ditengking jururawat tersebut dengan berkata:

“Kenapa awak pandai-pandai ambil gambar kat sini? Awak ada kebenaran ke?”
“Saya ambil gambar sebab nak beritahu pada umum yang servis di hospital Alor Setar ini teruk, layan kami macam haiwan,” tegas Ajeli.

Sepatutnya pihak hospital, katanya, memaklumkan terlebih dahulu pembatalan temujanji dengan mencadangkan tarikh temujanji yang baru.

Berdasarkan kepada pemerhatian The Rakyat Post, majoriti pengguna laman sosial menggesa agar pihak Kementerian Kesihatan dan Pengarah hospital negeri segera menyiasat insiden terbabit agar hukuman setimpal dapat dilaksanakan agar menjadi pedoman kepada petugas-petugas hospital dalam menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab.

Malah, ada juga yang menyifatkan perbuatan petugas jururawat itu sangat kurang ajar dan biadap.


sumber
http://bm.therakyatpost.com/berita/2014/12/18/jururawat-hospital-alor-setar-layan-kami-macam-haiwan-ajeli/


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.