Khamis, 25 Disember 2014

Khamis, Disember 25, 2014
Mortar Punca Letupan Di Taman Ria Mesra 2 | Bukan tong gas atau bom tangan tetapi letupan daripada mortar dipercayai meragut tiga nyawa termasuk anggota tentera dan anaknya di Taman Ria Mesra, Gurun, semalam.

Mortar Punca Letupan Di Taman Ria Mesra 2

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, berikutan itu polis sedang mengenal pasti bagaimana anggota berusia 37 tahun terbabit boleh memiliki bahan letupan berkenan di rumahnya.

Menurutnya, siasatan juga memberi tumpuan terhadap motif lelaki terbabit cuba menggergaji objek berbentuk bom mortar berikutan terdapat saksi melihat anggota tentera itu berbuat demikian di belakang rumahnya sebelum kejadian.

"Siasatan juga menemui beberapa serpihan bahan letupan bertanda kegunaan pasukan keselamatan negara di lokasi kejadian dalam radius satu meter, selain penemuan sejumlah besar mercun di belakang rumah anggota tentera terbabit.

"Malah, kejadian berkenaan bukan disebabkan letupan tong gas seperti laporan awal, tetapi akibat letupan yang kuat daripada bahan letupan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan 40 rumah rosak, termasuk 10 teruk dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah kecederaan serta kerosakan sebenar.

Dalam kejadian 4.45 petang itu, anggota tentera Koperal Ayob Hassim dari Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani yang bertugas di Kem Hobart, Gurun dan anaknya Hidayah, 8, maut di lokasi kejadian.

Anak jiran mereka, Afiq Luqman Shahrizal, 4, pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Guar Chempedak.

Gambar Sekitar Letupan di Taman Ria Gurun

Mangsa lain, Sharifah Haslinda, 30, isteri Ayob kini mengandung enam bulan dan Zuraida Mat Robete, 30, kini dirawat dalam Zon Merah Wad Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Jenazah Afiq Luqman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Lama, Paya Mengkuang, Padang Lembu, Gurun selepas solat Zohor, manakala jenazah Ayob dan Hidayah dijangka dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Masjid Tok Kepak, Kampung Lana Bulu, Ayer Itam.

sumber
http://www.hmetro.com.my/node/19056#sthash.w7ELKaA3.dpuf


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.