Khamis, 8 Januari 2015

Khamis, Januari 08, 2015
12 Maut, Lelaki Bersenjata Serang Pejabat Charlie Hebdo, Paris | Lelaki bersenjata dan bertutup kepala menyerbu pejabat sebuah majalah satira mingguan yang terkenal dengan persendakan radikal Islam, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk dua anggota polis dalam serangan militan yang paling teruk di Perancis dalam beberapa dekad kebelakangan ini.


Salah seorang daripada lelaki bersenjata itu dirakam dalam video menjerit "Allah!" sewaktu empat das tembakan bergema.

Dua penyerang itu kemudiannya dilihat meninggalkan tempat kejadian.

Charlie Hebdo (Mingguan Charlie) terkenal kerana mencetus kontroversi dengan mempersendakan pemimpin politik dan pemimpin agama dan telah menerbitkan banyak kartun yang mempersendakan Nabi Muhammad.

Dalam tweetnya, ia  mempersendakan Abu Bakr al-Baghdadi, pemimpin militan Negara Islam, yang menguasai sebahagian besar wilayah Iraq dan Syria.

"Ini adalah serangan pengganas, tidak ada keraguan mengenainya," kata Presiden Francois Hollande kepada pemberita selepas bergegas ke tempat serangan itu.

Kerajaan meningkatkan tahap keselamatan Perancis ke kedudukan tertinggi dan akan mengadakan mesyuarat tergempar kabinet.

Lelaki bersenjata itu melarikan diri ke arah pinggir timur bandar Paris, kata pegawai polis.

Pegawai polis Rocco Contento. berkata terdapat kemungkinan ada serangan lain dan tempat lain telah dikawal.

Siren boleh didengar di seluruh Paris ketika Perdana Menteri Manuel Valls berkata kawalan keselamatan akan ditingkatkan di hab pengangkutan, tempat agama, pejabat media dan pusat membeli-belah.

Rumah Putih berkata pegawai keselamatan Amerika berhubungan dengan rakan-rakan mereka d Perancis.

12 Maut, Lelaki Bersenjata Serang Pejabat Charlie Hebdo, Paris

"Jika penyerang itu masih bebas, kita akan menjejaki mereka, dan kita akan bekerjasama dengan Perancis untuk melakukannya," kata seorang jurucakap White House kepada televisyen MSNBC.

Seramai 20 orang lagi cedera dalam serangan itu, termasuk empat atau lima orang yang parah. Pegawai polis Contento menggambarkan tempat kejadian sebagai "pembunuhan beramai-ramai".

"Kira-kira setengah jam yang lalu dua lelaki bertutup kepala masuk ke bangunan dengan Kalashnikovs (rifel)," saksi Benoit Bringer memberitahu stesen TV iTELE. "Beberapa minit kemudian kami terdengar banyak bunyi tembakan."

Dalam video yang dirakamkan oleh wartawan Martin Boudot dari atas bumbung berhampiran pejabat majalah itu, seorang lelaki boleh didengar melaungkan "Allah"; kemudian diikuti bunyi tiga atau empat das tembakan.

"Mereka sedang keluar. Mereka dua orang," kedengaran suara baru dalam video itu ketika dua lelaki berkenaan muncul, kemudian mengangkat senjata mereka dengan gaya menembak.

Tahun lalu, Perancis menguatkuasakan undang-undang anti-keganasan dan mengambil tindakan berjaga-jaga selepas ada gesaan dari militan Islam untuk menyerang rakyatnya dan kepentingannya sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilancarkan tentera Perancis ke atas kubu kuat pejuang Islam di Timur Tengah dan Afrika.

12 Maut, Lelaki Bersenjata Serang Pejabat Charlie Hebdo, Paris

Serangan itu, yang belum ada pihak yang mendakwa bertanggungjawab, berlaku di tengah-tengah apa yang beberapa pengulas kenal pasti sebagai peningkatan xenofobia di Eropah, dengan ribuan penunjuk perasaan di beberapa bandar-bandar Jerman awal minggu ini terhadap imigresen Islam. Penduduk Islam Perancis seramai lima juta orang adalah yang terbesar di Eropah.

"Saya amat marah. Ini adalah penjenayah, barbarian. Ini bukan kebebasan. Ini bukan Islam dan saya berharap rakyat Perancis akan bersatu di akhir ini," kata Hassen Chalghoumi, imam masjid Drancy di Seine-Saint-Denis di pinggir utara bandar utara Paris.

Berpuluh-puluh polis dan anggota perkhidmatan kecemasan berada di tempat kejadian dengan polis mengenakan perimeter yang luas di sekitar tempat kejadian menembak itu, di mana seorang wartawan Reuters melihat sebuah kereta dipenuhi lubang tembakan peluru.

Akhir tahun lepas, seorang lelaki yang melaungkan "Allahu Akbar", mencederakan 13 orang dengan memandu kereta merempuh orang ramai di bandar timur Dijon.

Para pegawai Perancis berkata beberapa serangan dapat dihalang dalam minggu-minggu kebelakangan ini dan Valls berkata Perancis "belum pernah berdepan dengan ancaman yang dikaitkan dengan keganasan".

12 Maut, Lelaki Bersenjata Serang Pejabat Charlie Hebdo, Paris

Serangan bom api dilakukan ke atas ibu pejabat Charlie Hebdo pada November 2011 selepas ia meletakkan imej Nabi Muhammad pada kulit muka depan dalam apa yang digambarkan sebagai edisi Syariah.

Walaupun tidak ada pihak yang mendakwa bertanggung terhadap insiden tembakan tersebut, seorang penyokong Negara Islam membayangkan dalam twitter bahawa imej Nabi Muhammad adalah punca serangan itu dilakukan.

Serangan besar terakhir di Paris adalah pada pertengahan tahun 1990-an apabila Kumpulan Bersenjata Islam Algeria (GIA) melancarkan beberapa siri serangan termasuk pengeboman tren komuter pada tahun 1995 yang mengorbankan lapan orang dan 150 cedera.- Reuters

#Difahamkan beberapa orang yang terbunuh adalah kartunis di majalah tersebut....

sumber
http://www.malaysiakini.com/news/285676
http://www.dailymail.co.uk/news/article-2900259/Gunmen-kill-11-Charlie-Hebdo-attack.html


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.