Jumaat, 23 Januari 2015

Jumaat, Januari 23, 2015
3 Lelaki Merusuh Di Jalanraya Di Tahan Polis | Polis menahan tiga lelaki berusia 24 hingga 29 tahun yang terbabit dalam kes merusuh di Kilometer 2.5 Jalan Maharajalela, kira-kira jam 6.30 petang, Isnin lalu.

3 Lelaki Merusuh Di Jalanraya Di Tahan Polis

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten  Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek dipercayai berang dengan kesesakan lalu lintas yang disebabkan kemalangan jalan raya di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebelum kejadian terdapat nahas membabitkan motosikal dan kereta menyebabkan seorang kakitangan sebuah hospital, 45, membantu mengawal lalu lintas berkenaan sementara menunggu polis dan ambulans tiba.

"Suspek berang dan menyerang mangsa yang sedang mengawal lalu lintas di kawasan nahas.

"Suspek disyaki mabuk ketika kejadian dan semua mereka ditahan di hadapan sebuah rumah di Lorong Manggis, kira-kira jam 6.30 petang semalam (kelmarin)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Mohd Shuhaily berkata, mangsa yang mengalami kecederaan ringan di kepala dan telinga akibat dipukul suspek membuat laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori itu ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan lanjut  terhadap seorang daripada suspek yang berusia 30 tahun mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah lampau dan disyaki terlibat dalam kegiatan kumpulan kongsi gelap di kawasan Teluk Intan.

"Manakala dua lagi tiada sebarang rekod jenayah dan kes disiasat serta diklasifikasikan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (merusuh tanpa senjata).

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Polis menasihatkan orang ramai tidak memanipulasi video kejadian itu yang kini menjadi viral di laman sosial memandangkan semua suspek terlibat telah ditahan dan siasatan mengenainya sedang dijalankan.



sumber
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/tiga-lelaki-merusuh-kena-berkas-1.352959


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.