Ahad, 4 Januari 2015

Ahad, Januari 04, 2015
Jambatan Terapung ATM Bantu Penduduk Kuala Lipis | Pemasangan titi terapung dan jambatan pasang siap secara sementara akan dibina sebagai laluan alternatif bagi menggantikan Jambatan Sungai Tanum di Kampung Aur Gading yang runtuh akibat banjir.

Jambatan Terapung ATM Bantu Penduduk Kuala Lipis

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pembinaan titi terapung akan dilaksanakan serta merta manakala jambatan pasang siap mengambil masa selama 24 jam dan ia dilaksanakan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.

"Titi terapung ini 50 meter panjang dan 2 meter lebar untuk digunakan penunggang motosikal dan pejalan kaki manakala jambatan pasang siap sepanjang 40 meter boleh digunakan kenderaan tidak melebihi 60 tan.

"Ia perlu dilaksanakan bagi membolehkan penduduk tempatan keluar dan masuk ke bandar Kuala Lipis seperti biasa, serta melancarkan rutin persekolahan apabila sesi persekolahan dibuka tidak lama lagi," katanya kepada pemberita.

Beliau melakukan lawatan kerja bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ke Kuala Lipis bagi meninjau keadaan Jambatan Sungai Tanum.

Dalam program sehari itu, Hishammuddin dan Fadillah juga meninjau dua lagi jambatan di sungai sama yang turut runtuh akibat dihanyutkan banjir.

Jambatan konkrit Sungai Tanum itu merupakan jalan utama bagi penduduk Kampung Aur Gading untuk ke bandar Kuala Lipis yang mengambil masa selama setengah jam.

Runtuhan jambatan itu telah menjejaskan kira-kira 3,000 penduduk dari Kampung Aur Gading, Kampung Berkam dan Kampung Bukit Betong untuk berulang-alik ke bandar. Jambatan Sungai Tanum juga menjadi laluan pintas Kuala Lipis ke Gua Musang

Laluan yang ada ketika ini hanya di kawasan Felda yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

Hishammuddin berkata pembaikan jambatan berkenaan sepenuhnya mungkin akan mengambil masa.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata beliau akan ke Kelantan esok untuk meninjau kerja-kerja pembersihan pasca banjir dan menyeru sukarelawan khususnya anggota pasukan Wataniah agar turut serta.

"Keutamaan pembersihan adalah di sekolah-sekolah. Peralatan kita akan bekalkan melalui Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Hishammuddin berkata sehingga semalam, sebanyak 303 penerbangan menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia dilakukan bagi menjayakan Ops Murni di seluruh negara sejak 25 Dis lepas, manakala sebanyak 670 tan bekalan banjir telah disalurkan ke negeri terlibat melalui penerbangan itu. - BERNAMA

sumber
http://www.bharian.com.my/node/26941


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.