Rabu, 28 Januari 2015

Rabu, Januari 28, 2015
Lumpuh Kerana Gigitan Semut | Hanya kerana digigit seekor semut, seorang lelaki berusia 43 tahun lumpuh. Abdul Wahab Mydin berkata, sekelip mata dia memegang status orang kurang upaya (OKU).

Lumpuh Kerana Gigitan Semut

Menurutnya, pada tahun lalu, dia digigit semut yang lebih dikenali dengan nama semut selangor.

“Semut itu menggigit bahagian belakang betis, dan kebetulan pula saya mempunyai sakit kencing manis.

“Selepas digigit, saya letak salap, dan tidak sangka ia mendatangkan kesan lebih teruk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Isterinya, Rosliza Ramli, 42 berkata, bisa yang mungkin sekecil cucukan jarum akhirnya bertukar menjadi lebih buruk.

“Selepas beberapa hari, keadaan kulit suami saya bergelembung, seperti melepuh terkena minyak panas.

“Kemudian ia pecah dan setelah itu kulit tertanggal dan keluar warna putih dari kaki, rupanya bahagian isi dalam kaki sudah seperti dimakan, dan warna putih itu ialah isi kaki,” katanya.

Kemudiannya Abdul Wahab dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dirawat.

Dalam tempoh setahun saja, dia dibedah enam kali untuk mengubati kecederaan yang datang secara tiba-tiba itu.

Dia tidak menafikan terpaksa menanggung sakit yang tidak dapat digambar dengan kata-kata sehingga tulang belakangnya menerima kesan.

“Disebabkan pembedahan yang berterusan, tulang belakang saya juga lemah, dan disebabkan itulah saya lumpuh.

“Kini saya tidak boleh duduk terlalu lama dan hanya terbaring sahaja,” katanya.

Bapa kepada 10 anak ini juga tidak lagi mampu bekerja sejak setahun yang lalu, sementara isterinya juga terpaksa menjaganya di rumah sahaja.

Rosliza berkata, mereka mempunyai enam anak yang masih belajar dan masing-masing perlu ditanggung yuran pengajian.

“Anak saya yang berada di kolej terpaksa berhenti belajar kerana kami tidak lagi membayar yurannya, kami sekeluarga hanya menerima bantuan dari Pusat Urus Zakat (PUZ),” katanya.

Bagi yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Rosliza atau Abdul Wahab menerusi talian 012-4845137 atau 014-2539914.

sumber
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/lumpuh-gara-gara-semut-1.354514


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.