Khamis, 5 Februari 2015

Khamis, Februari 05, 2015
Keikhlasan Hati Nur Syuhada Menyentuh Hati - Ustaz Ahmad Dusuki | "Walaupun tidak pernah bertemunya, saya anggap arwah seorang yang baik hati apabila sanggup menawarkan diri untuk menyertai program bantuan banjir di Kelantan, dua minggu lalu.

Keikhlasan Hati Nur Syuhada Menyentuh Hati - Ustaz Ahmad Dusuki

"Selepas menyertai misi pertama yang berlangsung dua hari itu, ketua kumpulan program memaklumkan kepada saya, dia mahu menyertai program itu sekali lagi pada minggu seterusnya. Keikhlasan hatinya itu amat menyentuh perasaan saya," kata penceramah dan pendakwah terkenal, Ahmad Dusuki Abd Rani.

Ustaz Ahmad Dusuki memuat naik foto sekumpulan sukarelawan program bantuan banjir di Kelantan, 22 Januari lalu. Antara sukarelawan dalam foto itu ialah Nur Syuhada Johari.

Foto itu dimuat naik hari ini sebelum menjadi ‘viral’ di laman sosial. Ahmad Dusuki yang juga pengasas Kompleks Darul Thibbun Nabawi berkata, seorang sukarelawan yang rapat dengan arwah ada memaklumkan, Nur Syuhada adalah seorang yang mesra dan cemerlang peribadinya.

“Sepanjang misi bantuan itu, saya dimaklumkan arwah teruja, gembira dan sanggup mengerah tenaga ketika membersihkan lokasi yang ditetapkan.

“Saya turut dimaklumkan, arwah juga berharap dapat menyertai misi bantuan seperti itu pada masa akan datang, tetapi malang harapannya itu musnah selepas dia dibunuh dalam insiden ngeri Isnin lalu,” katanya.

Katanya, program bantuan banjir itu adalah kerjasama Thibbun Nabawi dan Muslim Care Malaysia

“Ia membabitkan sukarelawan yang majoritinya pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Permatang Pauh, Pulau Pinang dan program juga diadakan pada setiap minggu sehingga tempoh ditetapkan.

“Semua sukarelawan yang menyertai misi bantuan banjir itu ditugaskan untuk mencuci kediaman penduduk, sekolah dan masjid yang terjejas akibat banjir di Kelantan, Disember tahun lalu,” katanya.

Katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian Nur Syuhada oleh salah seorang peserta program berkenaan.

“Saya doakan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, mendapat ganjaran syurga dan mudah-mudahan mati syahid seperti mana namanya iaitu Nur Syuhada,” katanya.

sumber
http://www.hmetro.com.my/node/28596#sthash.UexUSMIK.dpuf


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.