Rabu, 11 Mac 2015

Rabu, Mac 11, 2015
Berat Zamani Naik 9 Kg Selepas Jalani Rawatan | Zamani tam­pil di Mahkamah Majistret Ampang semalam dalam keadaan lebih kemas dan berisi berbanding sebelum ini apabila berat badannya naik sebanyak sembilan kilogram sejak dimasukkan ke sebuah pusat pemulihan di ibu negara lebih sebulan yang lalu.

Berat Zamani Naik 9 Kg Selepas Jalani Rawatan

Zamani hadir ke mahkamah berkenaan semalam bagi men­dengar sebutan semula pertuduhan memiliki dan mengambil dadah yang dihadapinya bersama pembantu peribadi beliau, Nur Juliana Abdul Rani.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurdeenie Abdul Rashid dan Siti Shafinaz Salleh bagaimanapun memohon agar sebutan semula kes berkenaan yang sepatutnya diadakan semalam ditangguhkan bagi menunggu laporan kimia dan penyerahan dokumen kes tersebut.

Peguam bela, Ahmad Zaharil Musaiyar yang mewakili Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim, 43, dan Nur Juliana tidak membantah permohonan tersebut.

Majistret Ayuni Izzati Sulaiman kemudian membenarkan permohonan itu dan me­netapkan 10 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Di luar mahkamah, Ahmad Zaharil memberitahu, anak guamnya yang dilihat tampil lebih segak dengan berambut pendek kini semakin sihat sejak dimasukkan ke sebuah pusat pemulihan lebih sebulan yang lalu.

“Berat badannya telah naik sembilan kilogram daripada 45 kilogram kepada 54 kilogram sejak mula menjalani pemulihan pada 24 Januari lalu. Ada lebih kurang lima bulan lagi dia akan berada di pusat berkenaan. Sama-sama kita mendoakan agar proses pemulihannya berjalan lancar.

“Tumpuan kini bukan hanya kepada soal kes dadahnya sahaja, tetapi juga untuk melihat dia kembali pulih daripada ketagihan,” kata Ahmad Zaharil.

Pada 29 Januari lalu di mahkamah sama, Zamani dan Nur Juliana mengaku tidak bersalah memiliki dadah jenis heroin seberat 1.20 gram di sebuah rumah di Taman Keramat dekat sini pada pukul 12.30 tengah malam, 21 Januari lalu.

sumber
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0311&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.