Isnin, 23 Mac 2015

Isnin, Mac 23, 2015
DAP Keterlaluan Gelar PAS Pengkhianat | DAP dianggap bersikap keterlaluan apabila menggelar Pas sebagai pengkhianat dalam pakatan pembangkang kerana berkeras untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

DAP Keterlaluan Gelar PAS Pengkhianat

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, soal khianat sepatutnya tidak timbul kerana DAP menerusi Penasihatnya, Lim Kit Siang menandatangani kenyataan bersama Penasihat Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2011 yang ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam pelaksanaan hudud.

“Kami buat kenyataan bersama bahawa kami (pakatan pembangkang) menerima hakikat itu adalah hak kerajaan Kelantan (untuk melaksanakan hudud) dan kami memberi ruang kepada DAP untuk tidak bersetuju.

“Kami tidak halang mereka untuk tidak setuju. Kami bukan orang Melayu yang mudah lupa. Kami orang Islam yang tidak lupa.

“Macam dalam isu pilihan raya PBT (pihak berkuasa tempatan), kami (Pas) tidak setuju, tapi DAP tetap kemukakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Kami diam, tapi mereka tidak diam (dalam isu hudud). Itu bezanya,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Pidato Kemuncak sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-3, malam tadi.

Beliau diminta mengulas tuduhan DAP bahawa Pas khianat dan sengaja melakukan provokasi untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang kerana terus berkeras melaksanakan hudud di sebalik bantahan parti-parti sekutu.

Menyentuh mengenai pendirian rasmi PKR yang diterajui oleh kalangan pemimpin Islam yang turut memutuskan tidak menyokong pembentangan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat, Abdul Hadi membayangkan itu juga tidak akan menghalang langkah Pas.

Abdul Hadi berkata, kewajipan Pas setakat ini adalah untuk membentangkan apa yang dipersetujui sebulat suara oleh pucuk pimpinan parti khususnya di Kelantan dan pihaknya tidak boleh memaksa PKR memberi sokongan.

Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri bahawa rang undang-undang persendirian itu mungkin tidak dapat dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang, beliau berkata, itu boleh diputuskan mengikut budi bicara Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia).

Katanya, mengikut peraturan, rang undang-undang persendirian hendaklah diusulkan dan perlu mendapat keizinan daripada seorang menteri terlebih dahulu sebelum boleh dibentangkan.

Pas hanya perlukan majoriti mudah melalui 21 ahli Parlimennya dengan sokongan penuh 88 Ahli Parlimen UMNO untuk membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-keterlaluan-gelar-pas-pengkhianat-8211-hadi-1.72580


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.