Isnin, 2 Mac 2015

Isnin, Mac 02, 2015
Mamat Khalid Terjah Kilang Buru Pekerja Bangla | Dalam usaha untuk mencari pelakon dari Bangladesh, Mamat Khalid diberitakan telah pergi ke kawasan kilang untuk mencari pekerja warga Bangladesh sebagai watak tambahan dalam filem terbaharunya berjudul Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh.

Mamat Khalid Terjah Kilang Buru Pekerja Bangla

Rata-rata mereka yang ditemui Mamat memang sangat berminat untuk menjadi pelakon dan dia berjaya mendapatkan 70 orang warga negara tersebut untuk menjayakan filem berkenaan.

"Saya juga turut ke rumah mereka untuk melihat cara kehidupan mereka di negara ini dan mendapati mereka cukup minat dengan Shah Rukh Khan apabila banyak gambar pelakon itu di dinding.

"Mereka semua minat untuk bergelar pelakon dan itu memudahkan kerja saya untuk memujuk mereka supaya terlibat dalam penggambaran filem tersebut," katanya.

Biarpun produksi Mamat Khalid berdepan dengan masalah bahasa namun mereka tetap memberikan kerjasama yang baik ketika di lokasi penggambaran walaupun hanya memegang peranan kecil.

Sementara itu, Mamat Khalid turut mengupah seorang jurubahasa untuk memastikan mereka dapat memahami dialog dan ekspresi yang perlu dilakukan.

"Minat dan kesungguhan mereka saya cukup hormat biarpun penggambaran berlangsung pada waktu malam dan mereka perlu bekerja pada keesokan harinya. 

"Walaupun hanya watak sampingan namun jika saya minta buat sesuatu seperti ekspresi marah mereka akan memberikan yang terbaik dan rasanya lebih mudah beri arahan pada mereka berbanding pelakon tempatan," ujarnya.

Tambah Mamat Khalid lagi, dia menggunakan pelakon warga Bangladesh bukan kerana menyokong kemasukan mereka ke negara itu sebaliknya dia mempunyai objektif dan mesej tertentu untuk disampaikan kepada penonton.

Mamat Khalid Terjah Kilang Buru Pekerja Bangla

Selain itu, dia ingin membuka minda masyarakat tempatan supaya mengikis pandangan skeptikal terhadap mereka dan warga asing secara keseluruhannya yang datang mencari rezeki di Malaysia.

"Masih ada segelintir daripada kita yang gemar memperlekehkan mereka dengan gelaran 'bangla' atau memandang serong budaya kaum lelaki berjalan memegang tangan.

"Perkara-perkara sebegini yang ingin saya tampilkan agar dapat melihat dari sudut mereka pula kerana mereka masing-masing ada kekuatan dan cuba selami isi hati dan sisi baik warga Bangladesh," katanya.

Usop Wilcha Dalam Werewolf Dari Bangladesh menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Emma Maembong, Shy8 dan Saiful Apek itu bakal menemui penonton di pawagam bermula 5 Mac ini.

sumber
http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2015/03/02/mamat-khalid/


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.