Khamis, 12 Mac 2015

Khamis, Mac 12, 2015
"Semangat Saya Tak Akan Luntur"- Razman | "Semangat saya tidak luntur, malah semakin yakin untuk meneruskan karier selaku pemain bola sepak."

"Semangat Saya Tak Akan Luntur"- Razman

Demikian tegas kapten skuad Pahang, Mohd. Razman Roslan, selepas berlakunya insiden rumahnya ditembak di Kuantan awal pagi semalam.

Pada insiden tersebut, lima das tembakan dilepaskan ke arah rumah pemain pertahanan skuad Tok Gajah itu, mengakibatkan cermin belakang Toyota Vellfire milik bapa mentuanya pecah.

Pemain pertahanan yang berasal dari Kajang, Selangor itu memberitahu, dia tidak tahu apa motif sebenar tembakan berkenaan kerana tidak pernah menerima sebarang ugutan sebelum kejadian tersebut.

Razman yang tidak percaya situasi cemas itu berlaku di kediamannya menjelaskan bahawa insiden tersebut tidak menjejaskan fokusnya, malah akan terus memberi tumpuan kepada misi membantu Pahang menguasai saingan liga musim ini.

“Saya juga hairan kenapa rumah kami menjadi sasaran, lagipun saya tidak bermusuh dengan sesiapa. Saya juga yakin perbuatan itu bukan dilakukan ‘musuh’ sukan bola sepak tempatan.

“Apa pun, ia tidak menjejaskan semangat untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain tetapi sejujurnya, saya cuma risaukan keselamatan keluarga,” jelas Razman ketika di hubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, buat masa ini dia menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan terhadap insiden mencemaskan itu dan berharap dapat diselesaikan segera.

Ketika ditanya sama ada insiden tersebut ada kaitan dengan kelantangannya di laman sosial, Instagram, Razman enggan memberi sebarang komen, sebaliknya kekal dengan pendirian untuk menyerahkannya kepada pihak polis.

Razman yang tidak beraksi dalam perlawanan menentang Globac FC pada kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Kuantan malam tadi berhasrat untuk meminta pelepasan daripada pengurusan pasukan apabila skuad Tok Gajah bertandang ke Paroi menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi saingan Liga Super, Sabtu ini.

“Kebimbangan saya sekarang ialah keselamatan keluarga. Saya akan berbincang dengan jurulatih Zainal Abidin Hassan bagi meminta pelepasan daripada menyertai skuad Pahang ke Paroi, Sabtu ini,” jelasnya.

sumber
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.