Isnin, 23 Mac 2015

Isnin, Mac 23, 2015
Tuduhan Tak Berdisiplin Calar Imej Miera Leyana | Miera Leyana menganggap tuduhan kononnya dia tidak berdisiplin ketika menjayakan penggambaran sebuah drama bersiri mampu mencalarkan imejnya sebagai seorang artis.

Tuduhan Tak Berdisiplin Calar Imej Miera Leyana

Kata Miera, dakwaan berkenaan tidak adil buat dirinya kerana ia mampu memberi impak terhadap kerjayanya sekiranya ia dibaca oleh penerbit atau produksi lain tanpa mengetahui kisah sebenar.

"Sebelum ini saya tidak ambil hati jika ada cerita gosip mengenai saya ditulis tetapi apabila ia melibatkan soal kerja saya rasa ia melampau dan tidak adil tanpa bertanya sendiri kepada saya terlebih dahulu.

"Ini adalah periuk nasi saya, bayangkan kalau ada penerbit atau produksi membaca cerita itu sudah pasti pandangan mereka terhadap saya berubah walaupun saya tidak melakukan sebarang kesalahan," katanya.

Miera mengulas mengenai gosip kononnya dia sering datang lewat dan menimbulkan masalah selain memberikan pelbagai alasan tidak munasabah ketika menjalani penggambaran sebuah drama bersiri.

Tambahnya, sekiranya benar dia bersikap sedemikian dia yakin kerjaya lakonannya sudah lama terkubur dan dia pertama kali mendengar dakwaan seperti itu.

"Saya sudah berlakon dengan pelbagai produksi dan Alhamdulillah setakat ini belum lagi timbul isu disiplin seperti mana dakwaan pihak tersebut.

"Bukan hendak kata saya seorang manusia sempurna tetapi saya cuba memberikan komitmen terbaik dalam melunaskan tanggungjawab diberikan," ujarnya.

Dalam pada itu, Miera mengakui dia tidak menghadiri satu sesi fotografi bersama barisan pelakon drama berkenaan dan masalah alahan pada kulit menjadi punca kepada perkara itu.

Bagaimanapun kata Miera, dia terlebih dahulu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak produksi dan mereka memahami situasinya dan membenarkannya tidak hadir pada sesi fotografi itu.

"Saya bukan cuba cipta alasan tetapi kulit wajah saya memang tengah teruk ketika itu dan pihak produksi juga mengetahui mengenainya dan membenarkan saya menarik diri daripada sesi fotografi berkenaan.

"Sekarang lain pula ceritanya kononnya saya sengaja mencipta alasan wahal mereka tahu perkara sebenarnya. Sekiranya mereka tetap mahu saya pergi ke sesi fotografi itu, saya pasti datang," katanya.

sumber
http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2015/03/23/miera-leyana/


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.