Isnin, 23 Mac 2015

Isnin, Mac 23, 2015
UTHM Hasilkan Bata Guna Puntung Rokok | Siapa sangka puntung rokok yang dianggap sampah bagi kebanyakan orang sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri dan sangat berguna bagi penghasilan batu bata.


UTHM Hasilkan Bata Guna Puntung Rokok

Kajian para penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapati puntung rokok yang dijadikan bahan bagi penghasilan batu bata sebenarnya lebih ringan dan menjimatkan. 

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam dan AlamSekitar UTHM, Prof Madya Dr Aeslina Abdul Kadir, komposisi serat mikro, yang terkandung dalam puntung rokok mempunyai ciri penebat haba yang lebih baik dan mengukuhkan daya ikatan tanah.

Tambahnya, ciri itu membantu mengurangkan penggunaan tenaga dalam penghasilan batu bata serta mengelak ia mudah retak sebelum proses pembakaran.

UTHM Hasilkan Bata Guna Puntung Rokok

"Kajian di Amerika Syarikat mendapati, pembuangan puntung rokok dijangka meningkat sebanyak 50 peratus pada tahun 2025, sejajar peningkatan  populasi secara global.

"Daripada terus membiarkan bahan kimia toksik dalam bahan buangan ini menjejaskan alam sekitar, kami manfaatkan komposisi serat mikro pada puntung rokok untuk menghasilkan batu bata pada kos lebih rendah.

"Batu bata dengan campuran puntung rokok sebagai bahan asas turut melepasi ujian piawaian termasuk aspek daya tahan struktur, haba dan air, sekali gus membuktikan ia selamat untuk digunakan dalam industri pembinaan," katanya.

Antara lain, hasil kajian menunjukkan hasil larut lesap logam berat daripada batu-bata itu adalah mematuhi piawaian United States Environmental Protection Agency (USEPA) dan Environmental Protection Agency Victoria (EPAV). 

UTHM Hasilkan Bata Guna Puntung Rokok

Ujian makmal turut mengesahkan ia mematuhi Kod Amalan Industri bagi Kualiti Udara Dalaman (ICOP-IAQ) Malaysia.

Kata Aeslina, proses penghasilannya adalah sama dengan batu bata berasaskan tanah liat iaitu membabitkan adunan dalam mesin pembancuh, pengeringan dan pembakaran.

Bagaimanapun, menurutnya, langkah tambahan perlu dilaksanakan pada peringkat permulaan iaitu proses pembasmian kuman puntung rokok sebelum ia dicampur dengan tanah liat.

UTHM Hasilkan Bata Guna Puntung Rokok

Beliau berkata, batu bata itu berpotensi digunakan untuk pembinaan rumah kos rendah dan landskap sebagai alternatif lestari kepada penggunaan batu bata konvensional.

"Inovasi ini berpotensi dimanfaatkan di dalam dan luar negara, malah beberapa syarikat menunjukkan minat mengkomersialkannya, malangnya tiada sistem yang sistematik untuk pengumpulan sisa puntung rokok di negara ini. 

"Beberapa negara luar terutama Australia lebih mudah mendapatkan bahan bagi pengeluaran batu bata ini kerana ia dibuang ke dalam bekas khas yang disediakan berbanding di negara ini yang kebanyakannya membuang puntung rokok merata-rata," katanya. 

UTHM Hasilkan Bata Guna Puntung Rokok

INFO

Ciri unik batu bata berasaskan campuran puntung rokok

- Lebih ringan berbanding batu bata berasaskan tanah liat saja.

- Menjimatkan penggunaan tenaga dalam proses penghasilan kerana mengandungi serat mikro yang berfungsi sebagai penebat haba yang baik.

- Tidak mudah retak selepas proses pembakaran kerana mengandungi serat mikro yang mengukuhkan daya ikatan bahan tanah.

sumber
http://www.bharian.com.my/node/42692


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.