Ahad, 26 April 2015

Ahad, April 26, 2015
Sisi Bahagia Almy Nadia & Fizz Fairuz | Pejam celik sudah dua bulan Almy Nadia melahirkan puteri hasil perkahwinannya dengan pelakon Fizz Fairuz. Bayi comel diberi nama Nur Afrina Arianna itu melengkapi keluarga kecil itu yang turut mempunyai seorang lagi anak, Nur Afrina Darwisyah, 6.

Sisi Bahagia Almy Nadia & Fizz Fairuz

Menganjurkan majlis cukur jambul dan aqiqah yang berlangsung di Titiwangsa hari ini, Almy mengakui hidupnya diulit bahagia di samping suami tercinta dan dua zuriat mereka.

Almy dan Fizz mengundang kira-kira 250 orang membabitkan keluarga, teman rapat dan media untuk memeriahkan majlis aqiqah dua anaknya.

Kata Almy, dia cukup bertuah dikurniakan suami yang bukan saja penyayang tetapi bertanggungjawab dan ringan tulang membantunya menjaga puteri mereka.

“Fizz tidak kekok memandi, menukar lampin dan mendodoi Afrina Arianna malah sangat menyayangi Afrina Darwisyah.

“Dalam tempoh berpantang, Fizz banyak bantu menguruskan anak kami malah jauh mana pun menjalani penggambaran dia tetap pulang ke rumah setiap hari.

“Pernah dia berulang alik dari Melaka dan Kuala Lumpur setiap hari selama dua minggu. Sebagai isteri, sudah tentulah hati saya tersentuh melihat keprihatinan Fizz.

“Tambah pula bayi kami demam kuning. Memang dia tak boleh berjauhan dengan Arianna. Walaupun dah habis tempoh berpantang, dia selalu tolong saya,” katanya.

Kata Almy, sewaktu Arianna demam kuning dia dan Fizz dihantui perasaan bimbang apatah lagi ia berlarutan hingga 44 hari.

Pelbagai ikhtiar dilakukan supaya bayi mereka segera sembuh termasuk mendapatkan rawatan di hospital dan mengamalkan kaedah alternatif seperti minum air gula batu, air sengkuang dan anggur.

“Arianna dimasukkan semula ke hospital selepas empat hari dilahirkan. Kandungan bilirulin dalam darahnya tinggi hingga lebih 200 malah mencecah 380.

“Tuhan saja yang tahu perasaan saya dan suami ketika itu. Mak dan ibu mentua sarankan saya bagi anak minum air sengkuang, air gula batu tapi tak jalan. Lima hari jugalah Arianna diletakkan dalam mesin fototerapi.

“Balik ke rumah, saya cuba bagi mandi ubat Cina, air kucai dan air serbuk mutiara tetapi demam kuning tetap tidak berkurang. Dua hari sekali kena bawa ke hospital dan doktor sarankan minum susu kambing.

“Alhamdulillah, selepas beri susu kambing tiga kali sehari (dalam kuantiti sedikit), demam kuningnya perlahan-lahan reda dan pada hari ke-44 terus hilang,” katanya yang turut mengamalkan minum susu kambing dalam tempoh itu.

Almy bersyukur kerana Arianna mudah dijaga dan tidak banyak ragam. Pada sebelah malam, bayinya itu hanya berjaga sekali untuk menyusu iaitu sekitar jam 3 atau 4 pagi.

“Saya tidak ajar anak hisap puting, tidak berbuai dan berdukung. Kalau nak tidurkan dia, tepuk atau peluk pasti lelap. Saya ikut petua mak sebelum anak tidur, letak minyak di perut dan pakaikan baju lengan panjang. Amalan itu dapat elakkan perut bayi kembung dan boleh tidur nyenyak.

“Sebelah siang, Arianna minum susu formula dan malam pula mesti cari susu badan. Kadangkala sebelah siang dia nak susu badan dan saya bagi,” katanya yang berpantang selama 100 hari.

Kata Almy, dia kini berusaha menurunkan berat badan dengan berdiet, makan jamu serta bersenam. Ia bukan usaha mudah dan menuntut disiplin tinggi.

Berikutan belum mencapai berat badan ideal, dia terpaksa menolak beberapa tawaran fotografi dan menjayakan program TV. Tekad Almy, dia hanya akan kembali ke kaca televisyen apabila sudah kurus.

“Dulu berat badan saya pernah mencecah 75 kilogram dan ambil masa enam bulan untuk kembali kurus. Saya fobia, bayangkan baju pun kena pakai saiz XL.

“Ketika mengandung, berat 90 kilogram. Memang ambil masa untuk kurus dan selagi tak capai berat ideal, saya tak akan terima apa-apa tawaran. Sayang memang sayang tetapi saya tidak yakin untuk buat kemunculan dalam keadaan sekarang.

“Saya ada empat bulan lagi untuk turunkan berat badan. Makan tetap kena makan sebab Arianna masih menyusu badan cuma saya elak ambil makanan berlemak dan manis. Ais musuh utama, saya langsung tak ambil.

“Ketika Arianna demam kuning, saya berhenti ambil jamu dan sekarang sambung balik. Harap saya dapat capai sasaran dan kembali aktif berlakon,” katanya.

Apabila kembali berlakon nanti, Almy dan Fizz akan bergilir-gilir menjaga Arianna. Katanya, perkara itu dipersetujui Fizz dan mereka akan menyusun jadual supaya tiada pertindihan.

“Fizz sangat tekankan keselamatan anak. Apabila dengar pengalaman rakan yang menggunakan khidmat pembantu rumah dan pengasuh, kami nekad mahu jaga sendiri anak.

“Arianna masih kecil, tak sampai hati pula biar dia dalam jagaan orang lain. Buat masa ini, kami kena berkorban dan bergilir-gilir menjaga Arianna.

“Tak mengapalah, janji anak selamat dan ada depan mata kami. Fizz pun tak ada masalah nak mengurus, mandikan, salinkan lampin dan tidurkan anak. Arianna pun sudah pandai mengagah dan senyum, seronoklah Fizz bila jaga anaknya,” katanya.

sumber
http://www.hmetro.com.my/node/46465#sthash.Oj3VwnYG.dpuf


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.