Khamis, 14 Mei 2015

Khamis, Mei 14, 2015
1
Ibu Pelajar Vokasional Tuntut Keadilan, Mahu Pembunuh Anak Di Hukum Mati | “Mak cik tak akan maafkan dia. Harap dia terima hukuman macam ini juga (mati),” begitulah luahan Wan Zaleha Wan Mohamad, 46.

Ibu Pelajar Vokasional Tuntut Keadilan, Mahu Hukuman Setimpal Pembunuh Anak Di Hukum Mati

Luahan tersebut kedengaran agak keras namun itulah keadilan yang diharapkan ibu Mohamad Nur Aqram Zime, 16, yang meninggal dunia selepas menerima ‘sepakan maut’ daripada seorang pelajar senior.

Menurut Wan Zaleha, sukar untuk memaafkan suspek yang menyebabkan anak keempatnya itu meninggal dunia selepas hanya dikatakan tidak menghormati pelajar senior di kolej.

“Makcik tak akan maafkan sebab Aqram tidak buat perangai (nakal). Tiada sebab dia (suspek) nak pukul sampai mati.

“Semua orang termasuk guru, warden asrama mahupun saing-saing (kawan-kawan) Aqram semua kata dia seorang yang lurus (sangat baik) malah dilantik sebagai ketua kelas walaupun baru dua bulan di kolej dan aktif dalam pelbagai aktiviti,” ujarnya.

Mohamad Nur Aqram meninggal dunia selepas terkena ‘pukulan maut’ daripada seorang pelajar senior pada pukul 11.40 malam kelmarin.

Pelajar Vokasional Maut Di Pukul Senior, Salur Darah Leher Putus

Lebih dikesalkan, keluarga pelajar berkenaan langsung tidak bertanggungjawab kerana sehingga kini mereka tidak menghubungi pihaknya untuk bertanya khabar atau meminta maaf.

Dalam pada itu, ibu kepada tujuh anak itu berkata, dia berasa terkilan kerana tidak sempat menyerahkan hadiah jam tangan kepada Mohamad Nur Aqram sempena hari jadi anak­nya yang ke-16, semalam.

“Sebelum ini sambil bergurau, Aqram pernah tanya siapa mahu beri jam kepadanya. Disebabkan itu, saya telah berniat untuk hadiahkan jam tangan sebagai hadiah hari jadi dia.

“Ketika hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) untuk ucapan hari jadi kepadanya pada malam itu (Isnin), saya tetap merahsiakan mengenai hadiah tersebut. Walaupun dalam SMS yang dibalasnya dia bergurau bertanya kepada saya, ‘takdok hadiah ko? hehe...’ (tiada hadiah ke? hehe...)

“Saya membalas gurauan itu dengan berkata, Umi sahaja yang ingat pada anak, anak hari ibu pun tak ingat. Hadiah apa nak dah besar dah,” ujarnya.

Wan Zaleha berkata, dia sebenarnya telah merancang untuk ke kolej itu untuk membuat kejutan kepada anaknya namun sebaliknya dia pula yang ‘lemah lutut’ apabila dimaklumkan Mohamad Nur Aqram telah tiada.

Tambah suri rumah itu, mereka sekeluarga telah sepakat untuk mengemukakan saman terhadap Kementerian Pendidikan, pihak kolej, warden asrama dan ibu bapa suspek bagi mendapatkan keadilan dan menjadi pengajaran kepada orang lain.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/keluarga-pelajar-mati-disepak-tuntut-keadilan-1.91612


1 comments:

  1. Saya sokong tindakan saman ni supaya jadi iktibar pd guru2 juga. Anak saya juga penah alami buli dari pelajar pandai tomoi sebegitu. Tapi bila d buat aduan, malah anak saya di katakan anak manja. Aduan tu pula di sampaikn kpd pelajar tersbut. Menyebabkan anak saya jadi  mangsa dendam di luar sekolah. Tak kan nak tunggu mati, baru mrk bertindak

    BalasPadam

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.