Isnin, 11 Mei 2015

Isnin, Mei 11, 2015
Mangsa Pemerdagangan Rohingya Menangis Lihat Kubur Besar Di Thailand| “I am Muslim. We ‘doa’ for you. Insya-ALLAH salamah,” kata Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Ahmad Tarmizi Sulaiman kepada salah seorang mangsa kes pemerdagangan masyarakat Rohingya yang diselamatkan pihak berkuasa Thailand, Isnin lalu.

Mangsa Pemerdagangan Rohingya Menangis Lihat Kubur Besar Di Thailand

Mangsa, Sultan Kalam yang ditempatkan di Hospital Universiti Songkhla Nakharin Hatyai untuk rawatan lanjut tidak mampu berkata-kata kerana terlalu lemah, walaupun bibirnya bergerak-gerak seolah-olah mahu berkata sesuatu kepada sekumpulan wakil Mapim yang menziarahinya.

“Mengalir air mata apabila berjabat tangan dengan dia yang terbaring dalam keadaan sangat daif, lemah dan bernyawa tercungap-cungap. Sebaik saya menegurnya, dia turut mengalirkan air mata gembira,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, Sultan antara mangsa yang dijumpai dalam hutan berdekatan sebuah kem di Bukit Khao Rup Chang di Sadao, Songkhla, yang diserbu pihak berkuasa.

“Ada yang dijumpai merayau-rayau di tepi jalan selepas dibuang oleh sindiket terbabit,” katanya.

Menurutnya, isu ini bukan lagi masalah dalaman Myanmar tetapi menjangkaui sempadan serantau.

“Mapim akan mohon kepada Kerajaan Thailand supaya mereka dilayan berdasarkan hak kemanusiaan dan pelarian yang termaktub dalam Konvensyen Geneva. Mereka perlu diberi peluang berada di negara ketiga sehingga dapat pulang ke Myanmar dengan selamat sebagai rakyat negara itu,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, Malaysia perlu menjadi penggerak utama kepada perbincangan serantau melibatkan Myanmar dan Thailand, bagi membanteras pemerdagangan manusia serta mengawal ketat kawasan sempadan, selain memberi hak kemanusiaan kepada pelarian.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan penemuan puluhan mayat masyarakat Rohingya yang menjadi mangsa kes pemerdagangan manusia, sebahagian dibunuh kejam oleh sindiket selepas menemui lebih 30 mayat dari beberapa kubur besar, kira-kira 300 meter dari sempadan Thailand-Malaysia.

Sebahagian berjaya diselamatkan dan diberikan rawatan di hospital di selatan Thailand.

Mangsa terselamat menceritakan bagaimana mereka tersadai di sebuah kem, selain diseksa atau dibunuh oleh sindiket, pihak yang mendalangi kegiatan itu meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa, jika tidak mahu melihat sekujur tubuh tidak bernyawa.

Dengan tertangkapnya dalang itu, ia membawa kepada penemuan kem terbabit di mana terdapat sekitar 30 lubang kubur masyarakat Rohingya yang dipercayai dibunuh.

Berdasarkan maklumat daripada mangsa terselamat, mereka bertolak dari Yakhai, Myanmar enam bulan lalu dan dijanjikan dibawa masuk bekerja di Malaysia namun, sebaliknya ditahan dalam kem di Sadao.

Adalah dipercayai lebih 500 masyarakat Rohingya maut dalam kem-kem tahanan di sempadan Malaysia-Thailand itu.

Mangsa Pemerdagangan Rohingya Menangis Lihat Kubur Besar Di Thailand

Menurut pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan, dianggarkan beribu-ribu masyarakat Rohingya berada di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, menunggu wang tebusan daripada keluarga atau untuk dijadikan buruh.

Delegasi Mapim, diketuai Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid termasuk wakil Mapim Thailand, Amin Menjamin, mahu peranan tiga negara iaitu Myanmar, Thailand dan Malaysia diperkukuhkan bagi menyiasat pembunuhan dan jenayah pemerdagangan manusia yang dilihat semakin parah melibatkan tiga negara ini.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas Khamis lalu susulan penemuan lebih 30 mayat pelarian Rohingya di sempadan Padang Besar, Thailand-Malaysia.

Mesyuarat di Kompleks Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla ini inisiatif bersama Bahagian Hak Asasi Manusia, Maktab Syeikul Islam Bangkok (Dr Tibrani), Jabim Yala dan Mapim, turut dihadiri National Human Rights Commission of Thailand, Kessarin Tiawsakul.

sumber
http://www.sinarharian.com.my/semasa/mangsa-pemerdagangan-rohingya-menangis-1.388774


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.