Rabu, 6 Mei 2015

Rabu, Mei 06, 2015
Zamani, Pembantu Peribadi Mengaku Bersalah & Di Denda RM5,500 | Zamani Ibrahim dan pembantu peribadinya, Nur Juliana Abdul Rani, masing-masing didenda RM5,500 atau 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini terhadap pertuduhan memiliki dan mengambil dadah pada 21 Januari lepas.

Zamani, Pembantu Peribadi Mengaku Bersalah & Di Denda RM5,500

Zamani, 43, dan Nur Juliana, 32, membayar denda itu.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Terdahulu, Zamani yang memakai jaket dan berseluar hitam dan Nur Juliana mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan semula kepada mereka.

Sebelum ini, mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan tetapi menukar pengakuan hari ini.

Bagi pertuduhan pertama iaitu memiliki dadah jenis heroin seberat 0.60 gram, mereka masing-masing didenda RM3,300 atau 10 bulan penjara manakala bagi pertuduhan kedua iaitu mengambil dadah, Zamani dan Nur Juliana didenda RM2,200 setiap seorang atau lapan bulan penjara.

Mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis heroin di sebuah rumah di Jalan Enggang Timor Satu, Taman Keramat di sini pada 12.30 pagi, 21 Januari lepas.

Penyanyi itu, yang popular dengan lagu 'Gerimis Mengundang', juga didakwa mengambil dadah jenis morfin di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kira-kira 2 pagi pada tarikh sama.

Nur Juliana pula didakwa mengambil dadah jenis Methamphetamine pada  2.05 pagi di tempat dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan memiliki dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan mengambil dadah, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Ketika rayuan, peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar mewakili Zamani dan Nur Juliana memohon mahkamah mengenakan hukuman denda atas alasan penyanyi itu telah insaf dan berat badannya kini naik kepada 59 kg daripada 45 kg, selain beliau menghidap sakit belakang kronik yang memerlukan rawatan intensif dan pembedahan.

"Bagi Nur Juliana pula, dia terjebak dengan dadah berpunca daripada perasaan ingin tahu, namun kedua-dua anak guam saya menyesal dengan perbuatan mereka," katanya.

Mereka juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kerana kesalahan dadah adalah serius dan tertuduh merupakan artis terkenal yang sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada masyarakat.

Sementara itu, Zamani melahirkan rasa syukur kerana hidupnya  berubah selepas ditangkap kerana kes dadah itu.

"Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kerana ditangkap pada 21 Januari lepas...ia menjadi titik penting kepada perubahan yang saya alami hari ini," katanya dengan nada ceria kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Majistret itu.

Beliau yang kini mendapatkan rawatan di sebuah pusat pemulihan dadah juga kelihatan sihat berbanding keadaan sebelum ditangkap. – Bernama

sumber
http://www.sinarharian.com.my/hiburan/zamani-didenda-rm5-500-kerana-dadah-1.387454


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.