Jumaat, 19 Jun 2015

Jumaat, Jun 19, 2015
8 Perampas Di Tahan, 22 Anak Kapal Selamat, Seorang Cedera : Lapan suspek yang merampas kapal tangki MT Orkim Harmony ditahan pihak berkuasa Vietnam, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

8 Perampas Di Tahan, 22 Anak Kapal Selamat, Seorang Ceder

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata mereka ditahan berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam selepas menceroboh perairan negara itu dengan menaiki sebuah bot penyelamat berwarna kuning semasa cuba meloloskan diri daripada pemburuan.

"Mereka kini sedang disoal siasat oleh pihak berkuasa Vietnam," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan kapal tangki MT Orkim Harmony di sini hari ini.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dalam Twitter beliau memuat naik gambar lapan lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes MT Orkim Harmony.

"Lapan warga Indonesia ditemukan di Tho Chu Island pada 19 Jun, pukul 0630. Kami sedang menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa," kata Abdul Aziz dalam tweet yang memuat naik gambar berkenaan.

Ahmad Puzi berkata pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa Vietnam bagi mendapatkan kerjasama untuk membawa penjenayah itu ke Malaysia.

Beliau berkata APMM belum mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa negara itu mengenai kewarganegaraan suspek terbabit dan senjata yang digunakan semasa rampasan.

"Melalui pengalaman lepas apabila mereka tahu mereka tewas, senjata yang dimiliki akan dibuang. Buat masa ini kami beri ruang pihak Vietnam buat siasatan," katanya.

Ahmad Puzi berkata bagi memastikan penjenayah terlibat tidak terlepas daripada tindakan undang-undang, pihaknya akan segera merakam percakapan 22 anak kapal serta menjalankan siasatan forensik ke atas kapal tersebut sejurus mendarat di Kuantan.

Dalam pada itu, beliau berkata kru kapal warga Indonesia Mavit Matin, 46, yang bertugas sebagai tukang masak yang ditembak pada paha kiri, hanya mengalami cedera ringan dan tidak memerlukan pembedahan.

Ditanya mengenai kritikan sesetengah pihak bahawa pengawasan kurang berkesan pihak berkuasa menyebabkan perampas terbabit lolos, Ahmad Puzi berkata dalam situasi sedemikian keselamatan anak kapal adalah lebih penting.

"Kapal itu bawa minyak yang mudah terbakar...tentulah kami letakkan keselamataan (kru) sebagai keutamaan. Kes ini konklusif jadi fasa dua yang perlu kami buat adalah tindakan undang-undang," katanya.

Semua 22 anak kapal MT Orkim Harmony dibebaskan kira-kira 2.30 pagi ini hasil rundingan pihak berkuasa Malaysia dengan penjenayah berkenaan.

Kapal tangki yang membawa 6,000 tan metrik petrol RON95 bernilai RM21 juta itu dilaporkan hilang pada 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Kapal milik Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal iaitu 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar. - Bernama

sumber
Sinar Harian




0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.