Khamis, 18 Jun 2015

Khamis, Jun 18, 2015
Kem mangsa pemerdagangan manusia terbesar didedah | Sebuah kem mangsa pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya di Hutan Simpan Mata Aye di Padang Besar, kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand cukup mengejutkan apabila keadaannya umpama sebuah perkampungan kecil apabila dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk surau.

Kem mangsa pemerdagangan manusia terbesar didedah

Terdahulu, wakil media diberi peluang melihat sendiri sebuah kem penempatan dan kubur warga asing di Bukit Wang Burma, Wang Kelian di sini, namun melihat kepada kem kedua di Hutan Simpan Mata Aye yang boleh didaki menerusi Felcra Lubuk Sireh itu, ternyata apa yang disaksikan kali ini lebih luar biasa.

Paling mengejutkan, perkampungan yang mampu memuatkan kira-kira 300 orang itu dilengkapi kemudahan saliran air bersih diambil dari bukit berdekatan dan elektrik dari sebuah generator besar yang ditanam di dalam sebuah lubang bagi mengelak bunyi bising dan dikesan pihak berkuasa.

Turut ditemukan sebuah surau yang dipercayai digunakan untuk solat Jumaat berdasarkan penemuan tongkat imam dan mimbar, klinik kecil, dapur serta tong gas memasak, pinggan mangkuk selain sebuah kebun sayur kacang panjang, bendi dan terung.

Paling menyedihkan terdapat sebuah daripada bangsal itu dipercayai dijadikan oleh ejen sindiket untuk memuaskan nafsu terhadap golongan wanita etnik Rohingya berdasarkan penemuan coli dan pakaian dalam yang ditinggalkan.

Tidak terkecuali, sebuah lokasi menempatkan lebih 30 buah kubur yang dipercayai milik mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya turut ditemukan kira-kira 100 meter dari kem berkenaan.

Juga ditemukan bahan asas masakan seperti bawang dan makanan dalam tin serta bekalan ubat-ubatan yang kesemuanya dalam tulisan bahasa Thai dan Myanmar serta masih dalam keadaan baik.

Apa yang disaksikan wakil media itu mungkin menjelaskan beberapa insiden penduduk di kawasan tersebut sebelum ini yang beberapa kali terserempak dengan etnik Rohingya, selain ada antara mereka yang mengetuk pintu rumah pada waktu malam dan awal pagi untuk mendapatkan makanan.

Pendakian sekumpulan wartawan yang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim semalam itu bermula pukul 12 tengah hari dan mengambil masa selama sejam 30 minit.

Sepanjang perjalanan, kumpulan wartawan turut menemukan dua kem kecil dipercayai menempatkan kumpulan warga asing terbabit.

Berdasarkan tinjauan, kem penempatan paling besar tersebut terbahagi kepada dua iaitu perkampungan kecil yang penghuninya agak ‘bebas’ melakukan aktiviti kerana tidak berpagar dan dua buah kurungan dikelilingi kawat berduri.

Kedua-dua kurungan itu dianggarkan boleh memuatkan seramai 100 orang manakala perkampungan tersebut yang terdiri daripada beberapa buah bangsal besar pula secara keseluruhan boleh menampung seramai 300 orang pada satu-satu masa.

Meskipun tidak berpagar, tetapi perkampungan itu dikawal oleh anggota sindiket pemerdagangan manusia disyaki bersenjata api yang ditempatkan di tiga buah menara pengawal keselamatan.

Pada 26 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lokasi pemerdagangan manusia yang dibongkar di kawasan Wang Kelian di sempadan negeri ini dan Thailand, mengandungi sebanyak 139 buah kubur dipercayai milik pendatang asing.

#Hurrmm...tak hairan sangat sebab sebelum ni pun ada pelarian mendakwa kegiatan seludup manusia ini didalangi "Jerung" atau orang yang "Kebal"......ni lah Malaysia...rasuah...perut gendut mmg x dapat dipisahkan.phuuuuiiiii....

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kem-mangsa-pemerdagangan-manusia-terbesar-didedah-1.103101#sthash.0cuco83L.dpuf


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.