Ahad, 7 Jun 2015

Ahad, Jun 07, 2015
Robbi Sapinggi malim gunung berhemah tinggi - Ketua ekspedisi Coalition Duchenne | Malim gunung, Robbi Sapinggi yang maut di Gunung Kinabalu dalam kejadian gempa bumi semalam, sangat mengambil berat tentang keselamatan dan sentiasa mengutamakan keperluan tetamunya, kata penganjur Ekspedisi Gunung Kinabalu Coalition Duchenne, Catherine Jayasuriya.

Robbi Sapinggi malim gunung berhemah tinggi - Ketua ekspedisi Coalition Duchenne

Jayasuriya yang berasal dari Sabah dan kini tinggal di Amerika Syarikat, berkata beliau cuba menghubungi Sapinggi melalui telefon bimbitnya, termasuk menghantar mesej teks, setelah mendapat tahu tentang kecederaannya melalui media sosial, namun tidak menerima sebarang respons.

"Kemudian, saya menghubungi seorang kawan di United Kingdom yang kenal rapat dengan Robbi untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenainya.

Selepas itu, saya mendapat mesej melalui Facebook bahawa dia telah meninggal dunia dan berita ini disahkan kawan saya di UK, yang menghubungi jiran Robbi di Kampung Kiau," katanya

Coalition Duchenne menggabungkan pertubuhan dari seluruh dunia dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai distrofi otot Duchenne untuk membiayai penyelidikan dan mencari penawar bagi penyakit itu.

Jayasuriya sendiri mempunyai seorang anak lelaki, Dusty Brandom, yang mengalami penyakit itu. Jayasuriya berkata, Sapinggi yang telah menyertai empat ekspedisi anjuran Coalition Duchenne, adalah seorang manusia yang suka bergaul, baik hati dan kelakar.

"Ketika menyertai satu ekspedisi, saya berasa sangat sejuk ketika kami menuju ke puncak dalam cuaca hujan dan Robbi menghulurkan kepada saya sarung tangan dan jaketnya untuk dipakai, menyebabkannya hanya berpakaian baju T sahaja.

"Demikianlah sifatnya yang begitu mulia. Dia amat mengambil berat tentang keselamatan dan keselesaan pendaki," kata Jayasuriya dalam temu bual melalui emel.

Jayasuriya menampilkan Sapinggi dalam dokumentarinya bertajuk 'Dusty's Trail: Summit of Borneo', termasuk temu bual dengan malim gunung itu di rumahnya di Kampung Kiau dan babak dia berpadu suara dengan bapanya menyanyikan lagu 'Sayang Kinabalu' yang cukup terkenal.

Pengarah eksekutif Coalition Duchenne itu berkata, pihaknya akan menganjurkan pendakian amal kali kelima dari 7 hingga 9 Ogos ini.

"Berikutan gempa bumi yang berlaku, saya ditanya sama ada acara ini akan diteruskan, tetapi pada saat ini, saya tidak pasti dan terpaksa menunggu nasihat daripada Datuk Masidi Manjun (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah)," katanya. - BERNAMA

sumber
http://www.bharian.com.my/node/59576


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.