Jumaat, 24 Julai 2015

Jumaat, Julai 24, 2015
7 Individu Bertopeng Merusuh Di Kampung Gatco, Jempol : Kampung Serampang Indah, Mukim Serting Ilir atau lebih dikenali sebagai Gatco dekat Jempol bertukar sunyi sepi hari ini tanpa seorang penduduk pun kelihatan apabila mereka menguncikan diri di dalam rumah berikutan kejadian rusuhan kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi.

7 Individu Bertopeng Merusuh Di Kampung Gatco, Jempol

Sekitar kampung berkenaan kini dikawal rapi kira-kira 30 anggota polis yang melakukan rondaan manakala anggota Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) turut kelihatan berkawal di kawasan kebun getah di kampung berkenaan.

Tinjauan media Utusan Malaysia bersama anggota polis yang meronda dari rumah ke rumah mendapati hampir semua kediaman dikunci dengan para penghuni dipercayai mendiamkan diri di dalam rumah.

Pemilik beberapa buah rumah meletakkan poster di halaman yang tertera tuntutan supaya mereka diberikan tanah seluas 3.23 hektar seperti perjanjian asal bersama Gatco pada 1983.

Kain rentang mengenai tawaran kerajaan berkaitan tanah di kampung itu turut dipasang di beberapa lokasi strategik.

Dalam kejadian malam tadi, tujuh individu bertopeng bertindak membakar dan merosakkan beberapa buah kenderaan di kawasan kampung tersebut.

7 Individu Bertopeng Merusuh Di Kampung Gatco, Jempol

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias berkata, kejadian itu dipercayai dilakukan oleh pihak yang menentang tawaran pemberian tanah oleh kerajaan.

“Sebuah lori dibakar manakala tiga lori lagi rosak apabila cerminnya dipecahkan. Lori tersebut milik pemaju dan merupakan kenderaan yang digunakan untuk kerja menebang pokok getah di kawasan tersebut,” katanya.

Jelasnya, turut dibakar adalah dua buah kenderaan iaitu Proton Waja dan Proton Savy serta sebuah motosikal.

“Sebuah lagi motosikal dirosakkan dan buat masa ini pihak polis masih menjalankan siasatan sekiranya terdapat kenderaan lain yang turut dirosakkan.

“Turut dirosakkan pejabat sementara pemaju yang dibina di kawasan kebun di kampung tersebut,” katanya.

Hamzah berkata, sehingga kini pihaknya belum membuat tangkapan tetapi telah merakam ketera­ngan pemilik kenderaan.

“Saya harap orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini dan memberi laluan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Gatco atau Great Allonioners Trading Corporation Bhd adalah syarikat ditubuhkan pada tahun 70-an oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) yang dikurniakan tanah oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Mansor Othman.

Pada 1996, Gatco diisytiharkan muflis selepas gagal melunaskan pinjaman bank.

sumber
http://m.utusan.com.my/berita/jenayah/7-individu-bertopeng-buat-kecoh-1.116309#sthash.R9OgIIB3.dpuf


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.