Sabtu, 11 Julai 2015

Sabtu, Julai 11, 2015
Tengku Mahkota Pahang Tegur Perlombongan Bauksit Yang Semakin Melampau | Kerajaan negeri diminta agar melakukan tindakan yang lebih proaktif dan tegas dalam menangani isu perlombongan bauksit yang semakin berleluasa di negeri ini.


Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, isu bauksit perlu diatasi segera kerana ia boleh mengundang musibah apabila menjelang musim tengkujuh.

“Saya bimbang dengan perlombongan bauksit yang semakin  tidak terkawal kerana ia boleh memberi kesan apabila tibanya musim tengkujuh.

“Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali sebagaimana yang berlaku di Cameron Highlands akibat penerokaan tanah secara haram dan kini situasi yang sama berlaku di Kuantan apabila perlombongan bauksit semakin tidak terkawal.

“Kerajaan perlu bertegas dalam hal ini dan segera bertindak serta membendung isu yang berbangkit ini,”  titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir syarikat atau individu yang mengusahakan perlombongan bahan mineral itu secara haram selepas majlis penyerahan zakat perniagaan korporat oleh lima agensi kerajaan di negeri ini di Istana Abdul Aziz, di sini.

Tengku Abdullah menjelaskan sekiranya kerajaan negeri tidak mengambil tindakan sewajarnya ia akan memberi kesan kepada masyarakat di kawasan ini.

“Bila pembukaan kawasan perlombongan semakin banyak ia akan memburukkan lagi keadaan lebih-lebih lagi apabila musim hujan atau tengkujuh.

“Saya bimbang akan terjadi masalah besar nanti, kalau tindakan segera tidak diambil,” titah baginda.

Tengku Abdullah mahu kerajaan negeri lebih peka terhadap perkara ni dan mengambil tindakan sewajarnya agar rakyat tidak menganggung  kesan daripada tindakan tidak bertanggungjawab pengusaha lombong.

“Oleh itu, saya gesa kerajaan negeri memikirkan sesuatu dalam membendung masalah perlombongan bauksit yang semakin berleluasa terutamanya di Bukit Goh,” katanya.

Baginda turut mengakui tiada pengawalan dan pengawasan ketat menyebabkan pertambahan lori yang mengangkut bahan mineral itu di kawasan ini.

“Saya nampak ada lori hantu yang menjalankan kerja pemunggahan bauksit dan ini mencerminkan tiada pengawalan serta pengawasan yang ketat dilakukan.

“Malah kebanyakan lori mengangkut bauksit tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti menutup bahan mineral itu, membersihkan lori siap kali mahu keluar dari kawasan perlombongan dan sebagainya.

“Perkara sedemikian masih belum dipatuhi sepenuhnya oleh mereka dan tindakan segera perlu diambil dalam menangani perkara ini,” titahnya.

sumber
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/tidak-mahu-pisang-berbuah-dua-kali-1.409620


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.