Ahad, 26 Julai 2015

Ahad, Julai 26, 2015
Rakan Terpaksa Kejar & Tendang Motor Elak Kemalangan | “Dia melayang dan tercampak kira-kira 20 meter sebaik melanggar pembahagi jalan dan saya sendiri hampir melanggarnya tetapi berjaya mengelak,” kata Mohd Amirul Hafeez Atan, 29, rakan kepada Md Razi Ab Hamid, 39, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 355.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Ladang Limau Mudu, pagi semalam.

Rakan Terpaksa Tendang Motor Elak Kemalangan

Mohd Amirul berkata, dalam kejadian jam 9.15 pagi, dia terkejut sebaik menyaksikan mangsa tercampak ke atas jalan dan motosikal Kawasaki ZX10 yang ditunggangnya terus bergerak laju sebelum dia serta beberapa rakan lain mengejar motosikal berkenaan sejauh beberapa ratus meter.

“Saya terpaksa mengejar motosikal itu dan menendangnya. Kalau saya tidak berbuat demikian, saya bimbang motosikal itu tercampak ke laluan bersebelahan dan boleh menyebabkan kemalangan lain,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kejadian itu, Md Razi dari Felda Neram 1, yang parah di kepala dan muka meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd Amirul berkata, sebelum kejadian, dia bersama mangsa dan 50 penunggang motosikal berkuasa tinggi bertolak dari Kemaman untuk ke Kuala Terengganu bagi menghadiri majlis perkahwinan seorang ahli kelab motosikal mereka.

Katanya, ketika kejadian dia berada di barisan tengah, manakala sekumpulan lagi rakan mereka berada di depan.

“Beberapa minit sebelum tiba di tempat kejadian, saya memperlahankan motosikal sebelum mangsa memotong motosikal saya dan tidak sampai dua minit saya lihat dia tercampak dari motosikalnya.

“Berikutan kejadian kemalangan ini, kami terpaksa membatalkan semua acara itu sebaliknya berkumpul di Unit Forensik Hospital Dungun untuk menguruskan jenazah arwah sejurus proses bedah siasat terhadapnya selesai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

sumber
http://www.hmetro.com.my/node/66271#sthash.8V91Ckdb.dpuf


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.