Isnin, 6 Julai 2015

Isnin, Julai 06, 2015
Tomok tak serik kongsi gambar anak di laman sosial | Insiden penyalahgunaan gambar anak-anaknya, Arrianshah Akid dan Andrashah Iman di laman pornografi kanak-kanak tidak membuatkan penyanyi, Tomok serik untuk berkongsi detik indah keluarganya seperti biasa.

Tomok tak serik kongsi gambar anak di laman sosial

Bagaimanapun, pemilik nama Shah Indrawan Ismail tetap memastikan setiap gambar yang dimuat naik dipantau selain tidak memaparkan perincian yang boleh mengundang ancaman terutama lokasi.

Katanya, berdasarkan maklum balas pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas laporan dibuat pada 25 Jun lalu, bukan hanya gambar anak selebriti yang menjadi sasaran pihak tidak bertanggung jawab sebaliknya lebih 390 gambar lain turut membabitkan orang awam.

"Saya percaya perbuatan jahat itu dilakukan secara rambang bukan mensasarkan golongan artis saja. Sesiapa juga boleh menjadi mangsa kerana pihak terbabit mencuri gambar yang ada di laman sosial secara rawak.

"Dunia maya tanpa sempadan ini sememangnya penuh dengan risiko. Sebagai bapa, saya akan pastikan keselamatan anak-anak malah kami sudah melaporkan perkara ini kepada SKMM. "SKMM mengambil tindakan pantas dengan memadam gambar berkenaan sehari selepas laporan dibuat. Saya difahamkan dalangnya adalah individu di luar negara.

"Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dengan setiap status atau gambar dengan lebih kerap memantau komen yang ditinggalkan. Jika ada yang berbaur negatif, saya akan blok," katanya kepada BH Online. Ujar penyanyi itu, kejadian itu begitu mengejutkan beliau sekeluarga dan mendorong beliau lebih berhati-hati dalam memuat naik gambar anak-anaknya ke laman sosial yang memudahkan disalahgunakan.

Selain Tomok, gambar anak perempuan pelakon, Erra Fazira, Engku Aleesya dan anak kepada pelawak Harith Iskandar juga turut terdapat di laman web itu. Malah, Harith juga membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail serta disusuli laporan ke SKMM. Tomok menganggap tindakan individu yang menggunakan gambar anaknya dan dijadikan bahan lucah di sebuah laman web pornografi kanak-kanak sangat tidak bermoral dan mengakui sukar memaafkan perbuatan terkutuk mereka yang terbabit.

"Saya sebenarnya terkejut apabila diberitahu mengenai perkara itu. Saya berbincang dengan isteri mengenai tindakan apa yang perlu kami buat, sebagai ibu bapa saya amat terkilan dengan individu yang terbabit dalam penyebaran gambar anak-anak kami. "Kes ini adalah perkara serius, tidak boleh dipandang ringan dan saya harap pihak berkuasa turut campur tangan dalam hal-hal yang bercanggah dengan norma kehidupan manusia.

"Saya percaya SKMM mampu mengatasi isu ini dan berdoa dihindarkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang," katanya.

sumber
http://www.bharian.com.my/node/65837


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.