Jumaat, 21 Ogos 2015

Jumaat, Ogos 21, 2015
Fitnah MOY: Linda Onn, Suria FM Di Denda RM50,000 | Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan juruhebah Suria FM, Linda Onn dan stesen radio itu membayar ganti rugi RM50,000 kepada pemilik majalah humor, 'Ujang' berhubung kenyataan fitnah dalam satu segmen radio pada Januari tahun lepas.

Fitnah MOY: Linda Onn, Suria FM Di Denda RM50,000

Hakim See Mee Chun turut memerintahkan defendan, Linda Onn atau nama sebenarnya Rozlinda Onn dan Rimakmur Sdn Bhd yang memiliki stesen radio Suria FM, supaya membayar kos RM20,000 kepada Datuk Othman Yusof dan MOY Publications Sdn Bhd.

See membuat keputusan itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam C Vignesh Kumar yang mewakili plaintif dan peguam Bhag Singh yang mewakili defendan.

Vignesh Kumar memberitahu pemberita bahawa mahkamah turut memerintahkan kedua-dua defendan membayar faedah lima peratus kepada plaintif bermula dari tarikh kenyataan fitnah itu dikeluarkan sehingga penyelesaian kes hari ini.

Selain itu, katanya, mahkamah juga mengeluarkan perintah bagi menghalang defendan dengan sendirinya atau melalui ejen atau pengkhidmatnya atau dengan cara lain daripada terus menerbitkan sebarang penerbitan lisan atau secara bertulis yang memfitnah plaintif.

Pada Jun tahun lepas, plaintif memfailkan saman dengan mendakwa Linda Onn ketika mengendalikan segmen 'Carta 30 Lagu Top Mingguan' kira-kira 1.30 tengah hari, 25 Januari tahun lepas, telah menjawab soalan seorang pendengar Suria FM mengenai apakah yang telah berlaku kepada Majalah Ujang yang dimiliki plaintif.

Plaintif mendakwa segmen itu telah diulang siar pada 26 Januari tahun lepas, kira-kira pukul 6.30 petang di stesen radio sama. Plaintif mendakwa ketika menjawab soalan pendengar yang merujuk kepada plaintif, juruhebah itu telah mengutarakan kenyataan yang tidak berasas, tidak benar dan memfitnah plaintif.

Plaintif mendakwa perkataan-perkataan tersebut telah mengakibatkan kerosakan atau keburukan yang teruk kepada reputasi, imej dan nama baik plaintif serta merendahkan martabat plaintif di mata masyarakat umum.

Seterusnya plaintif mendakwa perkataan yang dikatakan memfitnah mereka telah disebut hanya sebelum lagu juara dalam carta itu disiarkan di mana kebanyakan pendengar akan mengikuti program sehingga lagu juara dimainkan dan dalam pada itu program itu juga dikendalikan oleh juruhebah terkemuka, Halim Othman serta Linda Onn yang mempunyai peminat tersendiri.

Plaintif turut mendakwa sebelum menjawab soalan pendengar dan membuat hebahan di dalam siaran radio nasional, defendan tidak membuat sebarang verifikasi dengan plaintif mengenai ketepatan maklumat yang diperoleh defendan dan setelah mengetahui bahawa maklumat yang diberikan kepada pendengar bersifat fitnah, defendan tidak membuat sebarang langkah untuk memperbetulkan keadaan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan kenyataan fitnah tersebut selain faedah lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - BERNAMA

sumber
http://www.bharian.com.my/node/76292


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.