Rabu, 19 Ogos 2015

Rabu, Ogos 19, 2015
Mangsa Buli Kini Terlantar, Tangkap & Hukum Sekeras-Kerasnya Pesalah | Seorang bapa meluahkan rasa kekecewaan apatah lagi anak yang ditatang bagai minyak yang penuh untuk menjadi harapan keluarga kini hanya mampu terlantar tidak sedarkan diri, didakwa menjadi mangsa buli.

Mangsa Buli Kini Terlantar, Tangkap & Hukum Sekeras-Kerasnya Pesalah

Operator kilang di Pasir Gudang, Md Jasmuni Mohamed Yassin, 40, berkata, dia membawa anak sulungnya, Mohd Irfan Dawani, 11 pada Rabu lalu selepas mengadu sakit kepala dan mengerang kesakitan

“Saya pegang badannya demam dan muntah beberapa kali. Irfan juga meracau tidak tentu arah sambil mengerang kesakitan yang kemudian dirujuk ke klinik berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Md Jasmuni berkata, hasil pemeriksaan doktor menyarankan kes berkenaan dirujuk ke hospital di Pasir Gudang di mana hasil imbasan mendapati terdapat darah beku di kepala Irfan yang dimaklumkan baru berlaku.

Kes tersebut dipindahkan ke hospital swasta di Johor Bahru, ketika itu Irfan sudah tidak sedarkan diri dan pembedahan bagi mengeluarkan darah beku dilakukan selain memasukkan tiub bagi mengeluarkan cecair di otaknya.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa, cuma terfikir Irfan seorang kanak-kanak yang normal dan aktif dengan aktiviti bola dan silat.

“Dengan tidak semena-mena ada darah beku di kepala kerana dia tidak pernah jatuh yang serius,” katanya.

Episod sedih keluarga tersebut bermula apabila jiran yang juga rakan baik kepada anaknya itu memaklumkan bahawa dia dan Irfan telah dibuli oleh rakan seusia di sekolah.

“Rakannya itu memaklumkan Irfan telah disepak dan dipukul dengan kayu oleh empat rakan dari kelas lain di sekolah pada 6 Ogos.

“Saya begitu terkilan apabila mendapat tahu perkara ini dan menuntut penjelasan pihak sekolah, namun kecewa kerana ia tidak mendapat pengadilan sewajarnya,” katanya.

Lebih mengecewakannya, Md Jasmuni mendakwa pihak sekolah cuba menyembunyikan kes tersebut dan tiada ibu bapa rakan yang didakwa membuli tampil membuat permohonan maaf.

“Saya begitu kusut dengan keadaan sekarang bukan hanya kos perubatan yang meningkat setiap hari, sebaliknya komitmen masa, dua anak saya yang lain tidak terbela kerana isteri perlu menjaga Irfan di hospital sambil sedang sarat mengandung lapan bulan.

Atas ketidakpuasan tersebut, Md Jasmuni membuat laporan polis selain meminta penjelasan daripada pihak pengurusan sekolah.

"Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah bagi menuntut pembelaan Irfan.

"Sehingga kelmarin, bil perubatan anak saya mencecah RM19, 395 yang kini separa sedar dan masih ditempatkan di Unit Rawatan Separa Rapi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Abdul Samad Salleh mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh bapa murid itu dan polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Manakala Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri, Aminuddin Adam berkata,  pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

sumber
http://www.sinarharian.com.my/semasa/murid-terlantar-dipercayai-dibuli-1.420887
http://www.hmetro.com.my/node/71365


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.