Khamis, 13 Ogos 2015

Khamis, Ogos 13, 2015
Pelajar Mabuk Langgar Kereta Polis Di Denda RM4,000 | Mahkamah Majistret di sini semalam, menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap seorang pelajar kolej atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Pudu, dua bulan lalu.

Pelajar Mabuk Langgar Kereta Polis Di Denda RM4,000

Majistret Noorul Fhaeiz Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar pengakuan bersalah tertuduh Lua Norman, 21, sebaik selepas pertuduhan pilihan dibacakan.

Mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman penjara empat bulan jika dia gagal membayar denda. Lua membayar denda.

Mengikut pertuduhan pilihan, dia didakwa memandu kereta berwarna biru di bawah pengaruh alkohol melebihi 76 miligram (mg)/100 mililiter (ml) daripada had ditetapkan jam 8.55 pagi, pada 22 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 45(A)(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6,000 dan boleh dikenakan penjara maksimum 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kereta dipandu anggota peronda polis dilanggar kereta tertuduh dari arah belakang sehingga kenderaan mangsa berpusing sebelum melanggar pembahagi jalan.

Terdahulu, peguam Mohd Hairani Samsi memohon mahkamah meringankan hukuman atas alasan anak guamnya insaf dengan kesalahan dilakukan.

“Ini kesalahan pertama anak guam saya yang bakal melanjutkan pelajaran di Universiti Ohio, Amerika Syarikat Ahad ini,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada orang ramai.

sumber
http://www.hmetro.com.my/node/69902#sthash.t317wyau.dpuf


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.