Sabtu, 1 Ogos 2015

Sabtu, Ogos 01, 2015
‘Subuh Berdarah’ : 250 Komunis Serang Balai Polis Kuala Krau | Tragedi Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor pada 1950 sememangnya menjadi satu sejarah hitam setelah 25 anggota polis maut setelah bertempur habis-habisan dengan pengganas komunis.

250 Komunis Serang Balai Polis Kuala Krau

Tragedi itu amat tragis yang mana pasukan keselamatan mempertahankan balai tersebut bermati-matian sehingga ke titisan darah terakhir menentang kumpulan yang berstatus pengganas.

Namun begitu, satu kejadian yang sama pernah berlaku di Balai Polis Kuala Krau pada 11 September 1949 sekitar pukul 4 pagi.

Kejadian itu berlaku lebih awal daripada tragedi Bukit Kepong, tetapi tidak ramai yang mengetahuinya.

Kisah tersebut diceritakan oleh Penghulu Mukim Jenderak 1, Zainal Azman kepada wartawan Utusan Malaysia yang diperoleh daripada Allahyarham Koperal Wok Zainal dan Baharin Md. Duhun.

Menurut Zainal, kedua-dua anggota itu merupakan antara mereka yang bertarung nyawa apabila komunis menyerang di segenap penjuru balai polis dan Pekan Kuala Krau.

“Apa yang berlaku di Balai Polis Kuala Krau itu digelar ‘Subuh Berdarah’. Ketika itu, balai berkenaan dikepung kira-kira 250 pengganas komunis sedangkan polis pula hanya mempunyai kekuatan kira-kira 30 anggota.

“Bayangkan dengan anggota sedikit dan kelengkapan senjata terhad, mereka terpaksa berjuang untuk mempertahankan balai polis itu dan masing-masing tidak berganjak biarpun sehingga ke titisan darah yang terakhir.

“Serangan itu bermula sekitar jam 4 pagi dan berlarutan sehingga dua jam. Ketika azan Subuh berkumandang, barulah pengganas komunis berundur,”

"Peristiwa berkenaan disedari oleh Baharin yang pada ketika itu sedang membuat rondaan.

"Dalam kejadian tersebut, balai polis itu dikepong dan jalan-jalan utama serta jalan kereta api di Kuala Krau juga ditawan oleh komunis,".

Katanya, kejadian itu menyebabkan seorang isteri pengawal kampung yang mengandung lima bulan dan menyewa sebuah rumah kedai di pekan itu dibunuh kejam bersama ibunya oleh komunis.

Paling tragis, tambahnya, seorang anggota polis bernama Hamzah yang cuma menunggu seminggu sahaja lagi untuk bergelar 'raja sehari' turut terkorban," katanya.

Tambah Zainal, dalam kejadian tersebut, pengganas komunis masuk ke pekan itu dan merampas semua ubat-ubatan dari sebuah kedai ubat.

Katanya, komunis menembak mati seorang perempuan Cina dan seorang perempuan Melayu yang berada berdekatan kedai ubat berkenaan.

"Kira-kira 30 komunis lagi masuk di Jalan Besar dan menemui dua anggota polis, tetapi mereka dikatakan tidak diapa-apakan dan hanya merampas dua pucuk Rifle serta peluru," katanya.

Jelasnya, setelah itu, stesen kereta api pula menjadi sasaran komunis yang mana terdapat dua pegawai berbangsa Inggeris menjadi mangsa pembunuhan kejam golongan berkenaan.

Zainal berkata, serangan itu mungkin dapat dijangka oleh polis berikutan kelibat ketua komunis ketika itu yang dikenali dengan nama Ah Kit mula kelihatan beberapa hari sebelum serangan.

Sebelum serangan kali pertama pada 28 Jun 1948, kelibat ketua pengganas itu juga dikesan di pekan berkenaan, namun dalam serangan itu hanya membabitkan jumlah komunis yang kecil.

Kejadian di balai itu perlu dibanggakan kerana ia berlainan daripada kejadian sama berlaku di Bukit Kepong yang telah mengorbankan banyak nyawa anggota polis.


sumber
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_01.htm
http://www2.hmetro.com.my/myMetro/articles/2012071804130720120718041307/Article


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.