Isnin, 7 September 2015

Isnin, September 07, 2015
Gempar Beruk Masuk Surau, Panjat Bahu Guru Agama | Orang ramai gempar selepas seekor beruk jantan masuk ke dalam surau ketika kelas agama sedang berlangsung di sebuah pondok pengajian di Kampung Bukit Teriak di Jitra.


Kejadian yang menjadi viral di laman sosial itu berlaku pada jam 9 pagi semalam ketika kira-kira 390 orang sedang mengikuti kelas pengajian agama mingguan di Mahad Dar Muhajirin di Kampung Bukit Teriak.

Tenaga pengajar pondok berkenaan, Ummi Kalsom Ismail, 31, berkata beruk jantan itu datang dari arah hutan di belakang pondok itu dan berlegar-legar di sekitar pondok tanpa mengganggu atau mencederakan orang ramai yang mengikuti kelas pengajian.

Beliau berkata, haiwan itu juga memerhati setiap daripada mereka yang berada di luar surau dan tidak mengambil makanan yang diberikan kepadanya. "Selepas berlegar di luar, haiwan itu masuk ke dalam surau dan apa yang peliknya haiwan itu hanya melihat orang yang sedang membaca kitab agama dan hanya duduk melihat kelas pengajian yang berlangsung.

"Kemudian haiwan itu memanjat badan guru agama yang sedang mengajar. Ustaz itu hanya membiarkan beruk itu berada di atasnya selama beberapa minit sebelum haiwan itu turun sendiri," katanya ketika ditemui di pondok itu.

Tambah Ummi Kalsom, ia adalah kejadian pertama sejak pondok itu dibuka pada 2001 dan adalah pengalaman tidak dapat dilupakan kerana haiwan sebesar kanak-kanak berusia lima tahun itu tidak bertindak agresif seperti kebiasaan beruk lain.

Beliau berkata, orang ramai kemudian menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk menangkap haiwan itu kira-kira jam 10.30 pagi kerana bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini.

"Kami lihat beruk itu masuk ke dalam sangkar tanpa bertindak agresif," katanya. Beruk jantan yang ditempatkan di JPAM Kota Setar buat sementara waktu itu telah diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

sumber
http://www.bharian.com.my/node/80012


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.