Sabtu, 17 Oktober 2015

Sabtu, Oktober 17, 2015
Culik Kajang, Tiga Hadapi Hukuman Mati Culik: Tiga lelaki termasuk seorang ahli perniagaan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Sungai Chua, Jumaat lalu, bakal menghadapi hukuman mati jika didapati bersalah.

Culik Kajang, Tiga Hadapi Hukuman Mati Culik

Jika tidak dihukum mati, ahli perniagaan tersebut, Siow Kek Keong, 44; pemandu lori, Mohd. Saifulamry Jarkasi, 28; dan warga Indonesia, Riduansyah Yahya, 32, yang bekerja sebagai buruh bakal menghadapi hukuman penjara seumur hidup dengan sebatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menahan dan mengurung kanak-kanak itu untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM300,000 di tepi Jalan Seroja, bersebelahan sebuah rumah bernombor 40, di Taman Setia, Sungai Chua, Kajang pada pukul 9.26 pagi, 9 Oktober lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh yang hanya mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya, S. Abirami sementara Kek Keong yang memakai baju T berwarna biru diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent dan peguam, Mohd. Fadli Yaakob mewakili Mohd. Saifulamry yang hadir memakai berbaju T berwarna hitam manakala Riduansyah tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia dan forensik.

Sementara itu, berlaku sedikit kekecohan di kaunter pendaftaran tingkat empat bangunan mahkamah tersebut apabila seorang lelaki yang dipercayai salah seorang ahli keluarga pemandu teksi, Hanizan Mohamad Radzi, 42, yang menemui kanak-kanak itu, gagal mengawal emosi ketika bertembung dengan bapa mangsa.

Walau bagaimanapun situasi tegang itu berjaya ditenteramkan apabila seorang ahli keluarga lelaki tersebut menarik keluar lelaki terlibat manakala seorang anggota polis mengarahkan kesemua pihak untuk menunggu di lobi bangunan berkenaan.

Hanizan dilihat hadir di kaunter berkenaan bersama-sama seorang anggota polis dan kira-kira pukul 10.45 pagi dia keluar menemui ahli keluarganya dan bapa mangsa.

Pemandu teksi itu kemudian dilihat bersalaman dan berpelukan dengan bapa mangsa itu.

Hanizan yang merupakan salah seorang yang ditahan polis bagi membantu siasatan bagaimanapun dilepaskan dengan bon setelah pihak polis mendapati dia tiada kaitan dalam kejadian tersebut.

Dalam kejadian tersebut, episod penculikan kanak-kanak itu yang dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah disebarkan secara meluas di media sosial.

Menurut laporan akhbar, difahamkan mangsa bersama ibunya baru sahaja tiba di kawasan tadika terbabit sebelum dihampiri dua tertuduh yang bertanyakan arah jalan kepada ibunya.

Dalam rakaman CCTV berdurasi 73 saat itu, ibu kanak-kanak berkenaan kelihatan sibuk menunjukkan arah kepada lelaki tersebut manakala seorang lagi terus menarik mangsa dan memasukkannya ke dalam kereta Proton Saga berwarna gelap.


Bagaimanapun, ibu mangsa dilihat sempat menaiki kereta terbabit untuk menyelamatkan anaknya namun terjatuh kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

sumber
http://m.utusan.com.my/berita/mahkamah/tiga-hadapi-hukuman-mati-culik-kanak-kanak-1.147417#


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.