Ahad, 11 Oktober 2015

Ahad, Oktober 11, 2015
Norieen Sedih Lihat Rakan & Adik Di Telan Sungai | Kudrat yang ada pada Norieen Yaakob, 10, sangat terbatas membuatkan dia tidak mampu membantu menyelamatkan adiknya, Haikal, 8. Daya yang ada padanya hanyalah memerhati bagaimana insan kesayangannya itu hanyut dibawa arus deras Sungai Perias akibat tergelincir ketika cuba meneguk air di situ.

Itulah kali terakhir dia melihat wajah adiknya yang sebelum itu mengadu terlalu lapar dan dahaga selepas berhari-hari tidak menjamah makanan.

Norieen Sedih Lihat Rakan & Adik Di Telan Sungai

Trauma Norieen berterusan apabila selepas adiknya, dua lagi rakannya, Linda Rosli dan Sasa Sobrie masing-masing berusia lapan tahun turut dibawa arus deras di depan mata.

Tragedi itu berlaku kira-kira 14 hari selepas Norieen, Haikal, Linda dan Sasa bersama tiga lagi rakan, Mirsudiar Aluj, 11; Juvina David, 7, dan Ika Ayel, 9, melarikan diri dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi pada 23 Ogos lalu.

Sepanjang dua minggu itu, ketujuh-tujuh pelajar Orang Asli ini sudah tiada daya kerana hanya makan tumbuh-tumbuhan hutan serta minum air sungai untuk menyambung hidup.

Kedudukan mereka tidak jauh daripada lokasi Norieen dan Mirsudiar ditemukan oleh anggota penyelamat di dalam banir pokok di tebing sungai tersebut semalam.

Dalam keadaan bingung, keempat-empat mereka cuba untuk bertahan dan membuat keputusan untuk tidak berganjak dari kedudukan itu. Namun, perut yang kosong ditambah dengan keadaan tubuh terlalu lemah menyebabkan Juvina akhirnya meninggal dunia beberapa hari selepas itu.

Semua pengalaman itu diceritakan Norieen yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kepada ibunya, Midah Angah, 40, dan bapa saudaranya, Herry Boy Angah, 20, malam tadi.

Herry Boy yang juga penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan berkata, anak saudaranya, Mirsudiar dan Ika yang masih hidup terus bertahan meskipun ketika itu hujan lebat selama beberapa hari sehingga paras air Sungai Perias meningkat secara mendadak.

Norieen Sedih Lihat Rakan & Adik Di Telan Sungai

"Mereka bertiga kemudian berjalan kaki sehingga ke lokasi Norieen serta Mirsudiar ditemukan semalam kira-kira tiga kilometer dari SK Tohoi dan berteduh di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu, Ika sudah tidak mampu bertahan akibat kebuluran dan meninggal dunia di sisi Norieen dan Mirsudiar. Kedua kanak-kanak itu menjaga mayat Ika sehingga ditemukan semalam," kata Herry berkongsi pengalaman yang dilalui Norieen kepada Mingguan Malaysia.

Menurut Herry, Norieen dan rakan-rakannya juga pada awalnya berhasrat untuk berpatah balik ke kawasan sekolah namun membatalkan niat itu akibat keletihan sehingga terlupa arah pulang.

Katanya lagi, sepanjang tempoh itu juga, kanak-kanak malang itu tidak nampak kelibat pasukan penyelamat meskipun operasi mencari dilakukan di kawasan tersebut.

"Ketika operasi mencari, kanak-kanak ini mungkin terselit di celah akar-akar pokor sehingga menyukarkan pihak berkuasa menemukan mereka. Pada masa sama, bunyi arus deras sungai itu juga menyebabkan kanak-kanak ini tidak mendengar jeritan pasukan penyelamat," katanya.

Norieen Sedih Lihat Rakan & Adik Di Telan Sungai

Sementara itu, Midah berkata, Norieen cuba melarang adiknya daripada turun ke sungai tersebut tetapi kanak-kanak itu tetap berdegil.

"Dia hanya mampu melihat dan tidak dapat menyelamatkan adiknya akibat keletihan serta keadaan sungai yang deras. Dia kini masih trauma akibat kejadian tersebut," ujarnya.

Sebagai seorang ibu, tiada doa lain yang dipanjatkan Midah selain mengharapkan mayat Haikal ditemui oleh pasukan penyelamat.

via
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/seorang-demi-seorang-meninggal-di-depan-mata-1.145110


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.