Selasa, 6 Oktober 2015

Selasa, Oktober 06, 2015
Rahim Thamby Chik Mengaku TAK Bersalah Tuduhan Menghasut | Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut dalam akaun laman sosial Facebook miliknya berhubung dakwaan pertukaran agama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pada 25 September lalu.

Rahim Thamby Chik Mengaku TAK Bersalah Tuduhan Menghasut

Abdul Rahim, 65, didakwa melakukan perbuatan itu melalui akaun Facebook Rahim TambyChik di Istana Mestika, Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 kira-kira pukul 8 pagi pada tarikh tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman de­n­da sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

Abdul Rahim turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menggunakan kemudahan perkhidmatan aplikasi Facebook sama, secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya berhubung perkara sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Pertuduhan tersebut pula dikemukakan mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd. Dusuki mencadangkan supaya Abdul Rahim diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin namun peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diikat jamin RM2,000.

Beliau memberi alasan anak guamnya yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri dan kini berkhidmat sebagai Pengerusi, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) telah memberi kerjasama secara sukarela kepada pihak polis berhubung kes berkenaan.

Justeru, katanya, tidak wujud risiko anak guamnya tidak hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan.

Hakim Slamat Yahya membenarkan Abdul Rahim diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 5 November ini untuk sebutan semula kes.

Abdul Rahim yang memakai sut lengkap berwarna kelabu tiba di mahkamah berseorangan pada pukul 11 pagi manakala prosiding kes itu bermula pada pukul 11.30 pagi.

Dia kelihatan tenang dan membuat pengakuan secara tegas setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Selain Mohd. Dusuki, pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz manakala pembelaan turut dibarisi peguam Wan Azmir Wan Majid serta Ahmad Al-Hady Abdul Razak.

Pada 29 September lalu, Abdul Rahim mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada Tengku Amir Shah menerusi laman Facebook dan Twitter miliknya pada pu­­kul 6 petang hari berkenaan.

“Merujuk kepada penulisan saya dalam Twitter dan Facebook me­ngenai Raja Muda Selangor telah me­nukar agama kepada Kristian Katolik, saya mengaku ini adalah dari sumber yang tidak dapat ditentukan kesahihannya.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf di atas ketidakselesaan dan ke­sulitan yang mungkin dirasai oleh Sultan Selangor, Raja Muda Selangor dan Istana Selangor,” kata­nya.

Namun pada 30 September lalu, Dewan Diraja Selangor mengeluarkan kenyataan berasa kecewa dan dukacita terhadap kenya­taan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Abdul Rahim itu.

Dewan berkenaan menafikan sekeras­-kerasnya se­gala tohmahan dan fitnah ber­kaitan kenyataan itu yang disifatkan satu pembohongan dan fitnah semata-mata.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/abdul-rahim-tidak-mengaku-tuduhan-menghasut-1.143462#sthash.KaYWM3pz.dpuf


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.