Khamis, 12 November 2015

Khamis, November 12, 2015
Kakak Maafkan Adik Sebabkan Kematian Ibu | “Saya maafkan adik, kerana saya tahu perbuatannya itu di luar sedar.”

Kakak Maafkan Adik Sebabkan Kematian Ibu

Itu luahan salah seorang anak Wan Yah Wan Mat, 63, mangsa yang mati selepas dipukul ketika cuba meleraikan pergaduhan antara anak lelaki dan anak perempuannya dalam kejadian di tingkat 16, Pangsapuri Sri Penara, Bandar Permaisuri, Cheras, semalam.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 40, berkata, adik bongsunya yang berusia 22 tahun itu mengalami gangguan jiwa hampir setahun lalu malah banyak mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan moden dan tradisional termasuklah perubatan Islam.

Menurutnya, dalam tempoh hampir setahun lalu, adiknya juga telah beberapa kali tidak sedarkan diri namun tidak pernah bertindak agresif.

“Sebab itulah saya langsung tidak menjangkakan kejadian ini kerana kami melihat adik semakin sembuh.

“Bagaimanapun saya reda dengan pemergian ibu dan tetap maafkan adik kerana tidak ma­suk akal seorang anak tergamak membunuh ibu sendiri jika bukan dalam keadaan luar sedar,” kata­nya di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang ibu yang cuba meleraikan pergaduhan antara anak lelaki dan anak perempuannya maut selepas dipercayai di­pukul dalam kejadian di tingkat 16, Pangsapuri Sri Penara, Bandar Permaisuri, Cheras.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mayat, Wan Yah yang mengalami bengkak di belakang kepala, lebam di kepala serta cedera di mulut dan hidung ditemukan terbaring di ruang tamu rumah unit pangsapuri tersebut yang dipercayai milik anak sulungnya yang berada di Kelantan.

Dua anak mangsa masing-masing berusia 25 dan 22 tahun serta masih menuntut di dua universiti awam iaitu di Gombak, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan iaitu membunuh.

Tambah Nur, kali terakhir dia bertemu dengan ibunya itu pada tiga hari lalu sebelum arwah bertolak ke Kuala Lumpur.

Katanya, ketika itu, mereka berada di pusat perubatan Islam di Kota Bharu bagi merawat adiknya.

“Kami berbual panjang dan arwah ada mengadu mengenai penyakit darah tingginya dan saya berpesan supaya jangan lupa membawa bekalan ubat ke Kuala Lumpur.

“Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan namun saya perasan ibu sangat gembira mungkin disebabkan penyakit gangguan jiwa yang dialami adik semakin sembuh,” ujarnya.

sumber
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kakak-maafkan-perbuatan-adik-sebabkan-kematian-ibu-1.157351


0 comments:

Catat Ulasan

Komen anda semua amat di hargai, Bagaimanapun anda dinasihatkan agar memberikan komen secara berhemah. Sebarang komen berunsur backlink dan provokasi akan dipadamkan kecuali atas pertimbangan admin. Terima kasih kerana mengunjungi Kezoom.